Followers

Friday, August 12, 2011

Iqra'


Kepada antum dan antunna,
Baca dan ambil ‘ibrah sebanyak mungkin dari kisah ini.

Terdapat seorang lelaki Ansar yang baru memeluk Islam. Pemuda ini terlalu baik dan berusaha untuk menjadi hamba yang bertaqwa. Apabila Rasulullah SAW menceritakan tentang syurga, dia menangis kerana merindui syurga Allah, dan ketika Rasulullah SAW menceritakan tentang neraka, dia menangis terketar-ketar kerana takutkan api neraka Allah yang dahsyat itu.

Suatu hari, Rasulullah SAW ingin menguji sifat amanah pemuda itu dengan menyerahkan sebuah bungkusan padanya untuk disampaikan kepada seseorang yang tinggal di hujung bukit. Pemuda Ansar menerima tugas itu dengan gembira. Dia Berjaya menyerahkan bungkusan itu kepada orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW. Selesai urusannya, dia pulang dengan hati yang gembira kerana telah melaksanakan amanah Rasulullah dengan sebaiknya. Ketika melalui kawasan tepi sungai yang sangat cantik, dia terpandang seorang wanita cantik sedang mandi di sungai. Wanita itu tidak berpakaian sempurna dan menampakkan tubuhnya yang putih gebu. Pemuda itu beristighfar panjang dan segera memalingkan wajahnya. Dia meninggalkan tempat itu sambil menangis ketakutan.

Dia meminta ampun kepada Allah kerana tidak sengaja memandang aurat wanita itu. Dia begitu takut dan tidak mahu pulang kerana malu pada Rasulullah SAW. Dia yakin Rasulullah akan mendapat perkhabaran dari Allah. Dia tidak sanggup berhadapan dengan Rasulullah kerana berasa berdosa. Pemuda itu melarikan diri ke kawasan gunung-ganang di antara Makkah dan Madinah.

Selama 21 hari pemuda itu tidak pulang-pulang, Rasulullah khuatir tentang keadaannya. Malaikat Jibril turun memberitahu Rasulullah SAW tempat pemuda itu berada. Rasulullah mencarinya untuk dibawa pulang. Ketika tiba di bukit tempat dia bersembunyi, terdengar pemuda itu berdoa: “ Ampunkan dosaku ya Allah…jangan Engkau bakar mataku ini kerana dosa melihat wanita itu. Aku tidak sengaja ya Allah. “

Rasulullah memujuknya untuk pulang. Akhirnya dia akur kerana perintah daripada Rasulullah SAW. Pemuda itu menangis menceritakan tentang dosanya yang tidak sengaja melihat aurat wanita. Lalu Rasulullah memujuknya dengan membacakan ayat 201 dari surah al-Baqarah. Kata Rasulullah, sesiapa yang membaca doa ini akan diampunkan Allah segala dosanya. Ayat itu bermaksud, “ Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka….”

Tatkala Rasulullah tamat membacakan doa dari surah al-Baqarah itu, pemuda itu jatuh pengsan. Apabila sedar, Rasulullah bertanya apakah yang menyebabkan dia pengsan, jawab pemuda itu, dia begitu ketakutan mendengar Rasulullah menyebut api neraka. Dia terbayangkan azab dan seksaan neraka yang amat dahsyat.

Tidak lama selepas pulang, pemuda itu jatuh sakit. Rasulullah SAW tahu bahawa sakit pemuda itu tidak akan sembuh dan sedang menunggu hari untuk kembali ke sisi Allah. Rasulullah mengangkat kepala pemuda itu lalu dipangku di atas ribaannya, seperti yang Baginda sering lakukan ketika melawat sahabat-sahabat Baginda yang sakit.

Pemuda itu menghalang Rasulullah daripada meletakkan kepalanya di pangkuan Baginda. Katanya, “ Aku ini hina ya Rasulullah, banyak sekali dosaku. Sedangkan pangkuanmu itu terlalu suci dan bersih.” Rasulullah menitiskan air mata kerana terharu dengan ketaqwaan pemuda itu. Lalu Rasulullah bertanya apakah permintaan terakhir pemuda itu. Pemuda itu menjawab, “ Wahai Rasulullah, sebelum aku kembali ke sisi-Nya, boleh engaku tanyakan kepada Allah, apakah DIA mengampunkan dosaku yang terlihat aurat wanita yang sedang mandi itu? “

Rasulullah SAW berdoa dan turun Jibril menyampaikan berita. “ Wahai Muhammad, Allah mengirimkan salam kepadamu. Khabarkan kepada pemuda itu, seandainya dia mati sekarang ini dengan membawa dosa setinggi langit dan seluas bumi sekalipun, lalu dia bertaubat dan beristighfar memohon ampun kepada Allah, maka Allah menerima cintanya seluas langit dan bumi ini juga! “

Selepas melafazkan kalimah La ilaha illallah, pemuda itu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Semasa jenazah pemuda itu dibawa untuk dikebumikan, sahabat terpandangkan Rasulullah SAW berjalan terjengket-jengket. Sahabat bertanya, apakah kaki Rasulullah terkena duri atau kaca? Lalu Rasulullah SAW menjawab, “ Bukan wahai sahabatku, kakiku bukan terkena kaca atau duri. Sebenarnya aku nampak perkara yang tidak kamu nampak. Aku berjalan begini kerana terlalu sesak. Aku terpaksa berjalan begini kerana…tahukah kamu bahawa semua malaikat yang berada di langit turun ke bumi untuk memikul bersama jenazah pemuda ini. Kerana itulah jenazahnya terasa ringan ketika dibawa. Dia seorang lelaki penghuni syurga.”

Itulah balasan jika kita berusaha mencintai Allah dengan segala kemampuan yang kita miliki. Seribu kali Allah kasih dan sayang kepada kita. Pemuda itu tidak sengaja berbuat dosa, tapi takutnya kepada Allah mengatasi segalanya. Dia buat dosa kecil sahaja, tetapi berasa dosanya begitu besat kepada Allah. Sedangkan banyak orang yang melakukan dosa besar, tapi menganggapnya sebagai dosa kecil sahaja…

Jom! Sama-sama kita renung dan cuba memperbaiki kelemahan kita.






No comments:

Post a Comment