Followers

Friday, September 2, 2011

Puasa Enam Bulan Syawal

Dalil disyariatkan ibadah puasa sunat Syawal adalah sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:

"Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa.“
(Hadis riwayat Imam Muslim)


Puasa pada bulan Ramadan dibalas dengan ganjaran bersamaan sepuluh bulan (iaitu bersamaan dengan 300 hari), puasa enam hari (pada bulan Syawal) pula mendapat ganjaran sebanyak dua bulan (iaitu bersamaan dengan 60 hari), yang demikian itu menjadi sunah yang sempurna, maka tercapailah pahala beribadah setahun tanpa kesulitan sebagai kurnia daripada Allah dan nikmat ke atas hamba-Nya.

Taudhih al-Ahkam min Bulughul Maraam, jilid 3, ms. 576, Pustaka Azzam.


Cara yang paling utama untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah Hari Raya Aidilfitri secara langsung (iaitu pada tarikh 2 Syawal), berturut-turut sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafie. Namun begitu seseorang juga bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun akhirnya dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut mahupun berpisah-pisah.


Kelebihan Puasa 6 Syawal

Abu Ayyub al-Ansari r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) 6 hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama 1 tahun."
(Riwayat Muslim)

Imam Ahmad dan an-Nasai'e meriwayatkan dari Thauban, Nabi SAW telah bersabda: "Puasa Ramadhan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa) 10 tahun, sedangkan puasa 6 hari di bulan Syawal, (pahalanya) sebanding dengan puasa 2 bulan, maka itulah bagaikan berpuasa setahun penuh."
(Hadis Riwayat Ibu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Diriwayatkan dalam suatu kisah apabila Rasulullah SAW bersama para Sahabat r.a sedang berada di dalam masjid, ketika sedang Rasulullah SAW mengajarkan ilmu agama kepada para Sahabat, tiba datang seorang perempuan yang amat cantik jelita berjumpa Rasulullah SAW. Kecantikkan perempuan tersebut menyebabkan semua sahabat berpaling ke arahnya. Kemudian, perempuan tersebut menyatakan hasrat agar Rasulullah SAW mengahwinkan dia dengan salah seorang daripada sahabat-sahabat Baginda SAW, tetapi dengan 3 syarat.

Syarat pertama ialah bakal suaminya itu tiap-tiap malam mesti mengkhatamkan bacaan al-Quran 30 juzu'. Syarat kedua pula, setiap hari suaminya itu hendaklah sentiasa mendirikan ibadat sepanjang malam, dan syarat ketiga ialah suaminya hendaklah berpuasa setiap hari sepanjang tahun. Maka dengan syarat ini, sahabat-sahabat Nabi SAW yang memiliki hasrat untuk berkahwin dengan perempuan tersebut hilang rasa keinginan itu. Nabi SAW pun menawarkan kepada para sahabat siapa yang sanggup berkahwin dengan perempuan ini. Akhirnya sahabat yang berada jauh ke belakang sanggup berkahwin dengan perempuan tersebut dengan menunaikan ketiga-tiga syarat tersebut.

Setelah sahabat tersebut berkahwin dengan perempuan yang cantik jelita itu berbulan-bulan lamanya, akhirnya perempuan itu melihat suaminya itu, semakin hari semakin kurang membaca al-Quran, kurang beribadat pada waktu malam, kurang berpuasa. Lalu dia pun pergi berjumpa Rasulullah SAW menceritakan hal suaminya yang telah mengingkari janjinya. Lalu Rasulullah SAW memanggil sahabat tersebut dan bertanyakan kenapa dia tidak menunaikan janjinya ketika mula-mula ingin mengahwini isterinya itu.

Lalu, sahabat tersebut menyatakan Ya Rasulullah: Bukankah engkau pernah menyatakan bahawa pahala membaca Surah Qul Huwallahu Ahad satu kali menyamai pahala membaca 10 juzu' daripada al-Quran? Jadi aku membacanya sebanyak 3 kali. Rasulullah SAW menjawab: Ya.
Kemudian, Ya Rasulullah: Bukankah engkau pernah menyebut bahawa dengan membaca Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, maka pahalanya menyamai ibadat sepanjang malam? Rasulullah menjawab: Ya.

Ya Rasulullah: Bukankah engkau pernah bersabda bahawa Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) 6 hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama 1 tahun? Rasulullah menjawab: Ya. Dengan ketiga-tiga jawapan sahabat tersebut, Rasulullah SAW dan isterinya meraikannya dengan senyuman kesyukuran.

p/s:SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR & BATIN


No comments:

Post a Comment