Followers

Saturday, September 29, 2012

Pertanyaan Demi Pertanyaan :)



betul ke, takde pakwe?!?!

“masa nilah, nak cari kawan. nak cari someone. nanti dah kerja, duduk di makmal, memang tak bertemu orang dah. nanti lambat kahwin.”


:) itulah pesan seorang staff bila saya praktikal dulu.
saya senyum, dalam hati, gelak sorang-sorang.


dia tanya,
betul ke, takde pakwe? tak percayalah.


saya gelak lagi..


ntahlah. dulu, masa belajar, saya cuba untuk tak nak berpakwe.
antara reasonnya, saya tak rasa saya akan berkahwin dalam jangka masa terdekat,
dan juga kerana saya takut pada sebuah relationship yang tak pasti.


being honest, yelah saya takut bercinta tapi tak kemana.
bercouple, tapi dia tak nak kahwin dengan saya pun.
takut takut try and error dalam relationship,
saya memang jenis yang nak komitmen,
kalau nak kawan, makanya, 
memang nak serius, nak kahwin.
bukan setakat nak cuba-cuba, try-try…. 


kelakar kan?


ya, memang dari satu sudut,
saya menolak cinta kerana saya rasa belum sedia.

dan sebab saya nak suatu yang pasti,
maka saya rasa perasaan masa saya masih belajar dulu,
tu semua just a temporary feelings.
dan lelaki yang datang pun, 
saya tak dapat rasa,
dieorang sedia dengan suatu matlamat yang jelas.
(semua macam nak test market je >_<)


dan itu antara sebab saya mengelak dan mengelat dari cinta ni..


pengaruh? haha, seriusly kuat.
memang mostly kawan kuliah tu berpakwe la.
tak terasa?
heh? 
hati saya belum jadi batu lagi, so ada la terasa sikit-sikit.
tepis-tepis dan kuis-kuis jugak la. :)


so sekarang?
sekarang?
Alhamdulillah, dan start keja dah.
soalan bila nak kahwin tu takde lah selalu sangat ditanya.
sebab saya masih muda kot ;)


so, sekarang dah ready nak bercinta ke?
huhuhu, ntah lah.
takut tu masih ada.
luka lama, masih berbalut.
parutnya belum kering.


saya susah nak percaya orang, itu masalahnya.
dan masalah paling masalah ialah,
bila saya percaya,
saya akan percaya sungguh-sungguh.


risau tak?
setakat ni, belum lagi.
sebab masih muda.
saya taklah risau takut jadi andartu ke, sebab manalah tau,
maut saya tiba sebelum jodoh saya,
siapa tahu kan?


perasaan tengok kawan-kawan lain kawen?
of courselah happy!
gembira dapat tengok dieorang dah kahwin.
dah bertemu jodoh.
dan melengkap separuh dari agama.
alhamdulillah.
semoga Allah memberkati kalian. 


Read more at HERE


Sekadar perkongsian.. Sama2 kita fikirkan & renungkan..

Shared by:
AZIDAWATIE AHMAD AZNI
Ex Timb. Exco Penerbitan MTD KMK 2011/2012

Monday, August 6, 2012

Nuzul al-Quran



17 Ramadhan adalah satu tarikh penting yang perlu diingati dan dihayati oleh seluruh umat Islam iaitu sempena peristiwa nuzul al-Quran.

Peristiwa Nuzul al-Quran adalah antara perkara penting yang harus diingat dan direnung muslimin dan muslimat kerana bermula dengan peristiwa itu zaman jahiliah (kegelapan) telah disinari cahaya, kesesatan digantikan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu berubah bertuhankan Allah Yang Esa.

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW perlu diingati dengan penuh keinsafan oleh umat Islam. Al-Quran mengandungi lebih 6,000 ayat adalah himpunan wahyu dan kitab panduan terakhir daripada Allah, diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun kepada Rasul-Nya, Muhamad supaya menjadi petunjuk kepada seluruh umat.

Waktu penurunan al-Quran adalah mengikut perancangan dan ketentuan Ilahi. Sesuai dengan kitab itu yang sungguh mulia, Allah juga memilih penghulu segala bulan yang terkenal dengan bulan keampunan, rahmat dan keberkatan iaitu Ramadan untuk menurunkannya.

Firman Allah bermaksud:
“Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan daripada pembeza (antara yang hak dan batil).” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Perlu kita ketahui juga, Nabi SAW menerima wahyu daripada Allah SWT dalam pelbagai cara dan keadaan antaranya ialah :

1. Malaikat memasukkan wahyu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW tidak melihat sesuatu pun, hanya berasa ia sudah berada dalam kalbunya.
2. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW berupa lelaki yang berkata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal kata-kata itu.
3. Wahyu datang seperti gemerincingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi SAW. Kadangkala pada keningnya keluar peluh walaupun ketika itu musim sejuk. Ada kalanya, unta yang Baginda tunggangi terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat apabila wahyu itu turun. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW dalam rupanya yang asli.

Selain itu, kenapa Allah SWT turunkan al-Quran secara beransur-ansur ? Sudah tentu menpunyai hikmah-hikmahnya tersendiri. Antara hikmah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur itu ialah :

1. Lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang tidak akan melaksanakan suruhan dan larangan jika diturunkan sekali gus dengan banyak.
2. Antara ayat itu ada yang nasikh dan mansukh, sesuai dengan permasalahan waktu itu. Ini tidak dilakukan jika al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan ada nasikh dan mansukh)
3. Turun ayat sesuai dengan peristiwa yang berlaku lebih mengesankan dan berpengaruh di hati.
4. Memudahkan penghafalan. Orang Musyrik bertanya mengapakah al-Quran tidak diturunkan sekali gus seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud: “Mengapakah al-Quran tidak diturunkan kepadanya sekali gus? Dijawab dalam ayat itu sendiri: Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu.” (Surah al-Furqan, ayat 32)
5. Ada antara ayat itu jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan seperti dikatakan Ibnu Abbas. Hal ini tidak dapat terlaksana jika al-Quran diturunkan sekali gus.

Sehubungan itu, peristiwa Nuzul al-Quran harus dihayati umat Islam kerana ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah. Bahkan, ia dilihat asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW serta keyakinan Islam itu agama benar, satu-satunya agama yang diredai di sisi Allah.




Nabi Muhammad s.a.w banyak membaca al-Quran dalam bulan Ramadhan. Nabi Muhammad S.A.W juga mengulang-ulangi bacaaan al-Quran begitu juga dengan para sahabat. Nabi berlumba-lumba antara satu sama lain untuk menghabiskan bacaan al-Quran dan menghafaz sebaik mungkin. Nabi bersabda maksudnya:”semulia-mulia umatku ialah orang yang menghafaz al-Quran.”

Tiap-tiap satu huruf al-Quran yang dibaca dalam bulan Ramadhan itu diberi satu kebajikan oleh Allah. Selain itu, membaca al-Quran dalam bulan Ramadhan beerti memohon kebajikan, kerahmatan dan keampunan daripada Allah. Yang penting, tajdid niat kita.

Oleh itu, para sahabat berlumba-lumba membaca al-Quran di bulan barakah ini.

Sunday, July 29, 2012

Rahsia Fadhilat Solat Terawih


Salam sahabat2 =)
Bagaimana puasa dan solat terawih anda? Harap semuanya baik-baik sahaja.

Sekarang, mari kita singkap rahsia fadhilat di sebalik solat terawih.

Di riwayatkan oleh Saiyidina Ali (r.a.) daripada Rasulullah S.A.W., sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. tentang fadhilat (kelebihan) sembahyang sunat tarawih pada bulan Ramadan:

Malam 1:
Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.

Malam 2:
Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang tarawih serta kedua ibubapanya (sekiranya mereka orang beriman).

Malam 3:
Berseru Malaikat di bawah ‘Arasy’ supaya kami meneruskan sembahyang tarawih terus-menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.

Malam 4:
Memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

Malam 5:
Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidilharam, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.

Malam 6:
Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Ma’mur (70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

Malam 7:
Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi ‘Alaihissalam menentang musuh ketatnya Fi’raun dan Hamman.

Malam 8:
Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihissalam.

Malam 9:
Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhamad S.A.W.

Malam 10:
Allah Subhanahuwata’ala mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan akhirat.

Malam 11:
Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baharu dilahirkan.

Malam 12:
Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).

Malam 13:
Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.

Malam 14:
Datang Malaikat menyaksikan ia bersembahyang tarawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat.

Malam 15:
Semua Malaikat yang menanggung ‘Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakan supaya Allah mengampunkan.

Malam 16:
Allahsubhanahuwata’ala tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Malam 17:
Allah kurniakan orang yang bertarawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

Malam 18:
Seru Malaikat: Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibubapa engkau (yang masih hidup atau mati).

Malam 19:
Allah Subhanahuwataala tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

Malam 20:
Allah kurniakan kepadanya pahala sekalian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

Malam 21:
Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada nur.

Malam 22:
Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huru-hara di Padang Mahsyar).

Malam 23:
Allah subhanahuwataala binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga daripada nur.

Malam 24:
Allah buka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang bertarawih malam ini, (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).

Malam 25:
Allah Taala angkatkan daripadanya siksa kubur.

Malam 26:
Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.

Malam 27:
Allah kurniakan orang bertarawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Sirotolmustaqim seperti kilat menyambar.

Malam 28:
Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 darjat di akhirat.

Malam 29:
Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.

Malam 30:
Allah Subhanahuwataala beri penghormatan kepada orang bertarawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman: “Hai hambaKu: Makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga, dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama ‘Al-Kauthar”.”


Setelah menyingkapi kelebihan solat terawih sebentar tadi, kita tahu betapa indahnya kurniaan dan penghormatan yang diberikan oleh Allah S.W.T apabila kita mengerjakan solat terawih pada setiap malam di bulan Ramadhan.

Jangan jadi macam gelagat macam di bawah nie sudah.

Awal Ramadhan...penuh giler masjid atau surau...sampai kadang2 kena solat kat depan pagar masjid...gasak laa..janji dapat terawih on the 1st day kan..time nie semua masih bertenaga...penuh keimanan dan keinsafan..

Tapi, bila time 10 malam terakhir Ramadhan, masjid dan surau lengang. Ada yang sibuk dengan buat kuih raya laa, ada yang pi shopping beli baju raya la. Ish2, shopping complex plak yang penuh, bukannya masjid. Nie lah amalan terbalik orang kita.

So, jangan buat macam tuu dah,ok?

Kita seharusnya cari malam Lailatul Qadar pada malam-malam terakhir bulan Ramadhan dan beribadah kepada-Nya bukannya malam-malam itu kita shopping sakan untuk persediaan Hari Raya.



p/s: Renungkan dan selamat beramal =)

Saturday, July 21, 2012

Menggapai Ramadhan Penuh Strategi


Salam to all readers =)

Ramadhan telah kembali menaungi langit kehidupan kita.

Bulan istimewa, turun di dalamnya perlembagaan kehidupan kita: Al-Quran.

“ (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” Surah Al-Baqarah ayat 185.

Bulan itu istimewa, di dalamnya Allah membuka seluas-luasnya satu perkara yang sukar: Keampunan.

Daripada Abi Hurairah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan, dan berkira-kira(bersungguh-sungguh memperhatikan amalnya) maka diampunkan untuknya segala dosanya yang telah lalu”
(Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Nasaai, Tirmizi, Abu Dawud dan Ahmad)

Bulan itu sangat istimewa, kerna di dalamnya sahaja Allah menyediakan sesuatu, yang tiada di dalam bulan-bulan lain: Pembukaan pintu syurga, penutupan pintu neraka dan suasana, bi’ah untuk berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan.

Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila masuk sahaja malam pertama dari bulan ramadhan, terikatlah syaitan dan terpenjaralah jin, dan tertutuplah segala pintu neraka, dan tidak terbuka daripadanya walau satu pintu, dan terbukalah pintu-pintu syurga, dan tidak tertutup daripadanya walau satu pintu, dan menyerulah penyeru: Wahai orang yang mencari kebaikan, carilah! Wahai orang yang mencari keburukan, cukup-cukuplah dan Allah menjauhkan kamu dari neraka. Begitulah setiap malam” Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah, dinilai Sohih oleh Al-Albani.


Yang besar di dalam Ramadhan, hakikatnya bukan pahala. Tetapi yang besar dalam Ramadhan adalah keampunan Allah SWT. Bulan ini, Allah membuka seluas-luasnya rahmat dan kasih sayangNya. Bulan ini, adalah bulan Allah SWT membuka peluang keampunanNya kepada hamba-hambaNya.

Pahala, boleh terkikis dengan amal buruk kita. Tetapi apabila kita mendapat keampunan Allah S.W.T, maka pahala sedikit atau banyak itu bukanlah ukuran kita. Yang kita kejar dalam Ramadhan, dalam ibadah-ibadah kita, bukanlah pahala yang bertimbun-timbun itu. Tetapi yang kita bersungguh-sungguh beramal dalam bulan Ramadhan ini, adalah untuk mendekati Allah dan merayu keampunanNya.


Gendang itu sudah dipalu
Menggetarkan hati menarik rindu
Roh-roh mula bangkit tersenyum
Pesta rohani sudah tiba
Ramadhan datang membawa rahmat dan keampunan daripada-Nya


Ya Allah, terima kasih kerana sampaikan kami kepada Ramadhan..
Berikanlah rezeki kepada kami untuk mengaut sebanyak-banyaknya peluang di dalam bulan hadiah daripadaMu itu..
Berikanlah kami keampunan, rahmat dan maghfirahMu,ya Allah..
Moga-moga bulan Ramadhan kali ini, menjadi medan kami untuk melatih diri, dalam memperkuatkan diri kami menjadi hambaMu yang terbaik wahai Ilahi..

Laksanakan Ramadhan ini sebaik mungkin..
Sama-sama kita amalkan..

Laksanakan Ramadhan dengan penuh strategi. Bukan semberono. Jangan biar ada masa yang terbazir. Terus-terusan berusaha agar setiap detik di dalam Ramadhan ini bermakna.

Sungguh, kita tidak mahu rugi pada bulan yang sepatutnya menguntungkan orang-orang mukmin.

Ayuh!
Menggapai Ramadhan dengan penuh strategi!

Monday, July 9, 2012

Ramadhan... Bulan yang Dinanti


"Di dalam satu hadis menyebut :

شَهْرُ رَمَضَانَ أَوَّلُهُ الرَّحْمَةُ وَأَوْسَطُهُ المَغْفِرَةُ وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ

Maknanya : Bulan Ramadhan, awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya keselamatan daripada api neraka

Inilah kelebihan yang terdapat di dalam bulan Ramadhan. Secara ringkasnya bulan Ramadhan terbahagi kepada 3 fasa iaitu :

Fasa Pertama : 10 hari yang awal merupakan fasa rahmat
Fasa Kedua : 10 hari berikutnya merupakan fasa keampunan
Fasa Ketiga : 10 hari terakhir merupakan fasa keselamatan daripada api neraka

Oleh itu, marilah kita merebut peluang ini dengan mengandakan amalan soleh pada siang dan malam bulan Ramadhan nanti.. Mudah-mudahan semoga kita semua akan mendapat segala kebaikan yang tidak terhingga..

Saturday, May 26, 2012

Tanggapan Remaja Zaman Sekarang Terhadap Soal Jodoh

Ramai menyangka perihal jodoh itu dapat dirancang. Kenyataannya tidak. Jodoh adalah ketetapan Tuhan yang tidak berubah biarpun sedikit.

Ramai orang yang bercinta tetapi putus di tengah jalan. Mereka tidak bernikah kerana seorang daripada mereka bernikah dengan orang lain yang baru dikenalinya. Ramai juga yang bercinta bertahun tahun lamanya sebelum kejinjang pelamin kerana mahu menduga pasangan masing masing. Kemudian apabila sudah bosan mereka berpisah dan memberi alasan sudah tidak serasi. Mereka mencari pasangan lain yang dirasakan tidak membosankannya. Akhirnya, mereka terjerumus ke kancah maksiat.

Apabila memilih jodoh, bukan sedikit anak muda yang memandang paras yang rupawan, dan wajah yang tampan, kekayaan dan harta benda. Banyak juga perkhawinan yang hancur kerana pasangan masing masing sudah tidak cantik, tidak tampan ataupun jatuh miskin. Ada juga orang yang bercinta dan sering keluar "dating", tetapi akhirnya bernikah dengan orang lain.
Benar, jodoh itu di tangan Allah kerana ramai yang bernikah bukan kerana nafsu ataupun cinta buta, melainkan atas sebab agama.

Ada yang takut mahu berkahwin kerana miskin, tetapi tanpa kita sedari hampir semua orang menjadi kaya selepas berkahwin.

Apakah hikmah daripada kisah kisah jodoh ini? Nampaknya, orang sekarang lebih mengutamakan paras rupa, bentuk tubuh, harta kekayaan, dan keseronokan dunia dalam mencari jodoh. Mereka seolah olah enggan mempercayai ketetapan Allah berkenaan jodoh mereka. Sama ada orang itu sedang menyiapkan diri bagi bernikah ataupun baru terfikir ke arah itu, ataupun sudah terlena dalam pergaulan bebas, hakikatnya mereka lebih suka bercinta sebelum bernikah tanpa ada sedikit perasaan takut kepada Allah. Bermacam macam alasan diberi kononnya sudah suka sama suka dan tanpa segan silu mereka menjalinkan hubungan terlarang.

Malah ada yang berkata perbuatan mereka itu adalah hak asasi sebagai manusia. Semuanya demi membenarkan kesalahan masing masing. Asalkan tidak merugikan dan mengganggu orang lain, pedulikan kata orang lain. Ternyata, mereka lupa pada hukum Allah. Akibatnya, Allah memalingkan tujuan asal mereka yang mahu mencari jodoh demi membina ikatan yang diberkati. Nauzubillahi Min Zalik.

Ada juga yang beranggapan bercinta dahulu sebelum bernikah juga penting kerana pernikahan hanya sekali seumur hidup. Malah, ada yang bercinta lebih daripada sekali. Apabila berumah tangga, mereka mula berasa bosan kerana sudah biasa bertemu mesra. Dalam majlis perkahwinan, sudah tidak ada perasaan berdebar debar, teruja dan kejutan. Sebaliknya, terasa hambar dan basi seolah olah tidak ada yang istimewa lagi.

Pada mereka yang memegang prinsip "jangan sampai tersalah pilih", mereka seronok bertukar tukar kekasih sebelum bernikah. Mereka rela menjadi bekas kepada kekasih hati mereka sendiri. Kemudianya, mereka berumah tangga selepas penat bercinta semasa muda. Apabila lanjut usia, mereka bernikah dengan pasangan yang seadanya sahaja kerana sudah tidak kuasa mahu mencari pasangan lain yang lebih baik, sedangkan pernikahan adalah seumur hidup.

Satu lagi alasan bagi menangguhkan pernikahan sehingga sudah lanjut usia adalah mahu bersedia zahir dan batin. Akibatnya, apabila sudah sedia mahu berumah tangga, tidak ada pula gadis ataupun jejaka pilihan hati yang dapat diajak ke jinjang pelamin. Akhirnya, kerana tidak ada pilihan dan tidak daya lagi menahan nafsu, mereka berkahwin dengan siapa sahaja yang sudi. Kesudahannya, pernikahan dilansungkan tanpa membuat pertimbangan kualiti amalan agama, keturunan, dan akhlak pasangan masing masing.

Malang nasib mereka yang lambat bernikah kerana mahu bersedia zahir dan batin. Realitinya, orang itu sudah bersedia bernikah. Bekalan berumah tangga semua sudah cukup tetapi rasa waswas menyelubungi mereka kerana asyik memikirkan sebab sebab dan akibat selepas bernikah. Apabila dikurniakan cahaya mata, anak yang menjadi mangsa.

Mengapa? Anak yang meningkat usia remaja dan mahu melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi , pasti memerlukan belanja yang besar. Malangnya, ibu dan ayah sudah tua dan tidak berdaya mahu bekerja keras mencari pembiayaan pelajaran anak. Akibatnya, pelajaran anak yang tersekat.

Sememangnya ini bukan rahsia lagi. Anak anak muda nampak bingung kerana memikirkan segala masalah yang disebutkan tadi, sedangkan mereka sudah bersedia bernikah. Sayang sekali, anak anak muda sekarang mudah goncang jiwanya kerana dilanda krisis kepercayaan dan kerohanian. Mereka terjebak dalam khayalan memuja muja fizikan tubuh dan nafsu yang berlebihan.

Akhirnya, kesempurnaan hanya milik Allah. Selain Allah, pasti ada kekurangan, termasuk diri ini. Sekiranya ada salah dan silap dalam apa jua bentuk, saya mengalu alukan kritikan dan saranan daripada pembaca yang budiman.

SUMBER: http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/4598--tanggapan-remaja-zaman-sekarang-terhadap-soal-jodoh.html

Friday, April 27, 2012

Iman itu Manis


Kelazatan iman (Halawatul Iman) tidak boleh dirasai jika kita tidak memulakan langkah untuk memahami hikmat di sebalik setiap apa yang kita lakukan, mengapa dan bagaimana kita lakukannya.

Kesedaran diri adalah kata awalan terhadap setiap amalan yang kita lakukan.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

"Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api." (Muttafaq alaih)

Anas berkata,

"Aku melayani Rasulullah SAW selama sepuluh tahun, Baginda tidak pernah memukulku, tidak pernah mencelaku dan tidak pernah bermuka masam di hadapanku. Rasulullah SAW mendoakan Anas dikurnia harta dan anak yang ramai dan doa Baginda dikabulkan Allah."

Makna hadis ini, ada tiga sifat yang jika ada pada seseorang maka orang itu akan berasakan manisnya iman. Manisnya iman adalah rasa nikmat ketika melakukan ketaatan kepada Allah, ketenangan jiwa, kesenangan hati dan lapangnya dada.

Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata,

"Syaikh Abu Muhammad bin Abu Hamzah berkata:

Pengungkapan dengan lafaz 'manis' kerana Allah mengumpamakan iman seperti pohon, seperti di dalam firman-Nya bermaksud:

"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik." (Surah Ibrahim, ayat 24)

Kalimat yang baik adalah kalimat ikhlas, kalimat tauhid, sedangkan pohon adalah pokok daripada keimanan, cabangnya adalah menjalankan perintah dan menjauhi larangan,daun-daunnya adalah segala amal kebaikan yang harus diperhatikan seorang mukmin,dan buahnya adalah segala macam bentuk ketaatan.

Manisnya buah ketika buah sudah matang,dan puncak daripada rasa manis itu adalah apabila buah telah benar-benar masak. Maka ketika itulah akan terasa manisnya buah itu.Mencintai Allah mestilah melebihi cintanya kepada orang lain seperti orang tua, anak, diri sendiri dan sesiapa saja yang dekat dengan kita. Beriman kepada Allah memiliki rasa manis yang tidak mungkin dinikmati, kecuali oleh orang yang beriman dengan sebenar-benar keimanan, penuh keikhlasan dan ilmu.

Oleh kerana itu, tidak semua orang yang mengatakan dirinya Muslim atau mukmin secara automatik dapat berasakan manisnya iman. Iman bukan cukup hanya dengan angan-angan, tetapi wajib dimantapkan dalam hati, dikuatkan dengan perkataan dan perbuatan yang dijiwai sepenuh hati. Kata kunci segala permasalahan ini adalah ikhlas.

Mengikut Imam Ibnul Qayyim, antara perbuatan untuk memperoleh kecintaan Allah dan kemanisan iman, selepas melakukan ibadat wajib:
Membaca al-Quran dengan merenungkan dan memahami maknanya.
Mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amalan sunat.
Terus menerus berzikir kepada Allah dalam setiap tindak tanduk kehidupan dengan hati, lisan atau perbuatan.

Mendahulukan apa yang dicintai Allah daripada apa yang dicintai diri sendiri.
Berkawan dengan orang yang jujur mencintai Allah dan orang soleh
Menjauhi segala perkara yang dapat menghalangi pautan hati dengan Allah.

Mencintai Rasulullah SAW yang menyusul selepas mencintai Allah adalah ciri terpenting yang harus dimiliki sesiapa saja yang ingin berasakan kelazatan iman. Cinta Allah dan Rasul-Nya adalah kayu ukur bagi kecintaan terhadap diri sendiri, orang tua, anak dan seluruh manusia.

Suatu ketika Saidina Umar berkata kepada Nabi SAW:

"Wahai Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu apa pun, kecuali diriku."
Maka Nabi SAW menjawab, "Bukan begitu, demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sehingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri."
Maka Umar menjawab, "Demi Allah, sesungguhnya engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri."
Maka Nabi SAW menjawab, "Sekarang Umar, (telah sempurna imanmu)."

Anas juga meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, beliau bersabda yang bermaksud:

"Tidak beriman salah seorang di antara kalian, sehingga aku lebih dia cintai daripada orang tuanya, anaknya dan seluruh manusia."
Mencintai seseorang kerana Allah maksudnya menjaga hubungan kasih sayang antara seorang Muslim dengan saudaranya atas landasan iman kepada Allah SWT dan amal soleh."

Kita mencintai saudara kita bukan kerana keuntungan kebendaan atau harta, kita membencinya atau menjauhinya bukan kerana kemiskinan atau tidak memperoleh manfaat dunia darinya. Ukuran cinta kita kepadanya adalah atas dasar iman dan amal
Saling mencintai kerana Allah mempunyai hak yang harus ditunaikan antaranya membantu memenuhi keperluan saudaranya dan menolong pada saat dia memerlukan bantuan, tidak membuka aib, tidak membenci, tidak iri dan dengki terhadap nikmat yang diberikan Allah kepada saudara kita.

Sentiasa mendoakan saudara kita tanpa pengetahuannya dan mengucapkan salam jika bertemu, bertanya khabar keadaannya, tidak sombong dan tinggi diri. Jalinan seorang Muslim dengan Muslim lain dibangun atas landasan cinta kepada Allah.

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Baginda mengenai tujuh golongan yang akan dinaungi Allah antaranya:
"Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya."

SUMBER: http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/4514-iman-itu-manis.html

Saturday, February 4, 2012

Maulidurrasul, Pesona Sebuah Cinta

Esok,umat Islam akan menyambut ulang tahun keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Di Malaysia, saat menjejak tanggal 12 Rabiulawal, setiap dari kita mula bersiap sedia menghadapi hari-hari yang dinanti. hari cuti umum!. Pada hari cuti umum ini, akan diadakan keraian-keraian Islami yang dipenuhi aturcara mengenang Rasulullah dengan berselawat merdu, bernasyid dan berceramah. Tidak akan ketinggalan walau satu tahun pun, upacara-upacara sebegini akan diadakan. Persoalannya, sejauhmanakah sambutan ini benar-benar bermakna pada kita?

Pengulangan dari tahun demi tahun mampu menjadikan sambutan ini sekadar satu upacara ritual yang harus dilaksanakan. Tidak menjadi masalah sekiranya kita hanya mengikut-ikut orang lain pada walnya dengan mengharapkan sebuah keikhlasan beribadah di hujungnya, tetapi amatlah merugikan kerana Maulidurrasul sebenarnya mampu menjadi satu ibadah cinta agung yang mampu mengundang pahala dan syafaat daripada Rasulullah tercinta. Menarik bukan? Tetapi, bagaimana pula caranya?

Segalanya bermula dengan sebuah kisah cinta. Setiap yang dilakukan menjadi lebih bermakna jika dihadiri dengan perasaan cinta. Dengan rasa cinta, kita tidak akan berkira walau sebanyak mana kudrat yang perlu kita gunakan untuk membuktikan sebuah nilai cinta pada insan tersayang. Pasti para pembaca sendiri pernah melakukan sesuatu yang tidak digemari, tetapi harus dilakukan juga atas dasar tanggungjawab. Cuba bandingkan dengan suatu perkara yang dilakukan dengan penuh rasa cinta, khas buat orang yang dicintai. Saat hadirnya cinta, yang susah jadi mudah, yang lama jadi sekejap, yang panas pun boleh menjadi sejuk. Inilah pesona dan penangan cinta.

Begitulah juga kita dengan Rasulullah S.A.W. Cinta seharusnya dipupuk dalam-dalam. Andai ada cinta, barulah kita benar-benar dapat merasakan betapa kita menanti-nanti tanggal 12 Rabiulawal. Bukan lagi sekadar kerana sebuah cuti umum yang diadakan dengan pelbagai program mengingati kuputeraan seorang yang ditugaskan menyampaikan risalah Allah, tetapi satu hari teristimewa yang amat dinantikan, untuk dilakukan pelbagai perkara yang mampu membuatkan baginda semakin sayang pada kita semua.

Semestinya perasaan itu tidak mampu hadir serta-merta. Bukan mudah menerbitkan cinta. Bukan mudah juga untuk jatuh cinta. Untuk mencintai, semestinya kita harus mengenali. Bukan cukup kalau sekadar mengenali bibliografi, tetapi harus menganjak jauh mengenali hati budi. Percayalah bahawa, setelah mengenali baginda, terlalu mudah untuk kita jatuh cinta dengan insan agung yang dicintai Allah ini. Peribadinya sahaja sudah cukup membuatkan yang mengenalinya tertawan. Mana tidaknya, akhlak baginda merupakan cerminan al-Quran. Pelbagai kisah menarik yang tercatat dalam sirah yang mampu membuatkan kita tersenyum, merindui kehadiran baginda dalam kehidupan kita. Tambahan pula apabila mengetahui, saat hayatnya, kita semua yang tak pernah diketemuinya ini disebeut-sebut, malah hingga ke akhir hayatnya, baginda masih mengingati umatnya dengan lafaz syahdu.. \"ummati..ummati..ummati...\".

Mana mungkin kita gagal untuk jatuh cinta pada baginda?

Bukan setakat mencintai.. Setelah mencintai, pastinya jiwa menggesa untuk berkorban membuktikan cinta. Dengan cinta, lafaz \"Aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah\" pastinya lebih bermakna. Kesaksian yang terkepil dengan satu amanah penyaksian misi dakwah Rasulullah yang harus diteruskan sudah tentu menjadi satu azam yang terpasak dalam jiwa. Bukan lagi menjadi sebuah tanggungjawab yang dirasakan terpaksa untuk dilangsaikan, tetapi sebagai satu bukti rasa cinta mengharapkan Rasulullah S.A.W turut mencintai kita,mencintai umat yang tegar menuntun perjalanan profesyen utama baginda, profesion seorang pendakwah.

Lafaz selawat "Sallallhu 'ala Muhammad, Sallallahu 'alaihi wasallam" juga mudah dilafazkan dengan getar rasa cinta dalam jiwa. Tiap lafaz dialunkan dengan rasa cinta dan rindu yang cukup mendalam, mengharap syafaat daripada baginda di akhirat kelak. Lafaz ini pastinya dikumat-kamitkan selalu dengan penuh pengharapan supaya nanti saat ketemu di akhirat, kitalah yang diperhatikan baginda saat baginda berpaling melihat umatnya, dengan senyuman terindah. Subhanallah..betapa indahnya!

Setiap perkara sunat yang diperturunkan juga dapat dilakukan dengan penuh rasa ikhlas, tanpa sedikit pun rasa terbeban. Betapa indahnya kehidupan, apabila tertambahnya sebuah nilai agung yang membuatkan urusan dunia yang asalnya hambar, menjadi urusan akhirat yang akan dihitung ke Syurga. Bersukan bukan lagi sekadar menjadi pengisi masa terluang untuk bersuka-suka, tetapi sesuatu yang besar ertinya pada pemantapan kekuatan ummah apabila ianya disarankan oleh Rasulullah. Membahagiakan ahli keluarga dan jiran tetangga bkan lagi menjadi aksi-aksi sebuah akhlak asasi, tetapi sebuah tanggungjawab yang bernilai Syurga.

Dengan cinta inilah, seluruh kehidupan kita mempunyai roh sebuah kehidupan bernilai akhirat, sejajar dengan matlamat baginda didatangkan kepada umatnya, termasuklah kita, umat akhir zaman. Kedatangan baginda memberi sebuah sinar kehidupan, yang memperjelas jalan-jalan ke Syurga. Semestinya, pilihan berada di tangan kita. Mempertaruhkan sebuah ketaatan dengan satu keterpaksaan, atau menyulam ketaatan dengan sebuah keikhlasan rasa cinta? Tepuk dada tanya selera. Akhir kalam, ayuh kita risik-risikkan khabar jiwa kita semua.. Seistimewa manakah nilai sambutan keputeraan baginda pada tahun ini pada kita? juga.. seistimewa manakah baginda Rasulullah dalam 364 hari yang lainnya pada pada kita? Semoga nanti di akhirat, semua diantara kita berjaya memenangi syafaat dan senyuman Raulullah..

Selamat menyulam cinta.

Eid Milad, Ya Rasulullah....
Kami merinduimu..