Followers

Friday, July 29, 2011

RAMADHAN BULAN PENYUCIAN JIWA


ALHAN WASAHLAN YA SYAHRU RAMADHAN AL-MUBARAK


Selamat menjalani ibadah puasa kepada muslimin dan muslimat...
Tingkatkan amalan dan ibadah kita untuk merebut pahala malam Lailatul Qadar..




Ramadan al-Mubarak bulan tarbiah dan juga tazkiyatun nafsi buat manusia agar kembali kepada fitrah yang suci. Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu." (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Maka kembalilah mereka ibarat bayi yang baru lahir suci daripada segala dosa.

Kita digalakkan memperbanyakkan amal ibadah dan memohon keampunan daripada Allah S.W.T serta banyakkan muhasabah diri. Sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah S.A.W bermaksud; "Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua Syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu Neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pintu Syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu.

Penyeru pun menyeru: "Wahai orang yang mengharapkan kebaikan, terimalah! Dan wahai orang yang mengharapkan kejahatan, berhentilah! Dan (yang ikhlas) kerana Allah, akan dibebaskan daripada api Neraka dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam Ramadhan." (Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)

Dikatakan Ramadhan ini bulan penyucian jiwa kerana pada bulan ini setiap umat manusia beragama Islam akan sebolehnya mengubah tabiat dan perangai. Pada bulan ini setiap daripada kita sedaya upaya melakukan perubahan diri berbanding pada bulan-bulan sebelumnya.

Segala benda dan perbuatan ini hanya boleh dilakukan dengan adanya rasa keimanan dalam jiwa. Menurut penceramah bebas, Ustaz Hazlin Baharin, Ramadan itu dikatakan sebagai bulan penyucian jiwa kerana ia dapat membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada sebarang kerosakan dan gangguan syaitan.

Tetapkan Taqwa

Ramadhan juga merupakan masa terbaik untuk menyucikan jiwa kerana orang yang berpuasa perlu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa atau sekurang-kurangnya yang boleh mencacatkan puasa. Justeru, segala tabiat buruk sebelum ini perlu ditinggalkan.

Apabila cabaran utama yang hadir dalam diri ini mampu diatasi oleh manusia itu bermakna mereka telah berjaya melawan godaan nafsu Syaitan yang mahu merosakkan jiwa mereka. Maka sebahagian daripada penyucian jiwa telah berjaya dilepasi. Tambah Ustaz Hazlin lagi, sekiranya halangan ini mampu dilepasi, maka mereka telah tergolong dalam kalangan orang-orang yang sabar dan secara langsungnya ini telah dapat menyucikan hati daripada melakukan perbuatan maksiat.

ROAD TO RAMADHAN 1432H

"Dalam kehidupan ini, kita perlu kepada satu time frame yang khusus untuk menghadapi sesuatu. Tanpa persiapan dan persediaan yang rapi, kita mungkin akan tersungkur atau gagal dalam mencapai kejayaan yang sempurna. " [Syeikh Muhammad Abduh]

Tamsilannya, bakal penuntut institut pengajian tinggi yang tiada persiapan dan persediaan yang rapi, mereka ini berisiko besar untuk kecundang dalam pengajiannya. Meskipun mereka mampu untuk menamatkan pengajian, mereka mungkin hanya bergelar graduan kelas kedua sahaja.

Begitulah juga kita sebagai seorang Muslim. Dalam menghadapi bulan Ramadhan, tanpa persiapan yang rapi, kebarangkalian untuk kita gagal dalam mengharungi Ramadhan itu sangat tinggi.

Ini adalah natijah puasa bagi orang-orang yang tidak melakukan persiapan yang rapi bagi menghadapinya:

1) Kita mungkin mampu berpuasa, tetapi sekadar puasa orang awam.

Menurut Imam al-Ghazali dalam bukunya Ihya Ulumuddin, tingkatan puasa diklasifikasi kepada tiga:

i) Puasa umum - puasa dengan tingkatan paling rendah iaitu menahan dari makan, minum dan jima'.
ii) Puasa khusus - di samping menahan yang tiga hal tadi, individu itu juga memelihara seluruh anggota tubuh dari perbuatan maksiat atau tercela.
iii) Puasa khusus yang lebih khusus lagi - puasa hati dari segala kehendak hina dan segala fikiran duniawi serta mencegahnya memikirkan apa-apa yang selain Allah.

2) Kita mungkin mampu qiam, tapi sekadar sepuluh (10) malam yang pertama.

"Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas." [Riwayat Bukhari dan Muslim]

3) Kita mungkin mampu membaca al-Quran, tapi hanya sekadar sepuluh (10) juzuk pertama.

"Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru, bahawa sesungguhnya Nabi S.A.W telah bersabda: Puasa dan Qur'an itu memintakan syafa'at seseorang hamba di hari Kiamat nanti. Puasa berkata : Wahai Rabbku, aku telah mencegah dia memakan makanan dan menyalurkan syahwatnya di siang hari, maka berilah aku hak untuk memintakan syafa'at baginya. Dan berkata pula al-Qur'an : Wahai Rabbku aku telah mencegah dia tidur di malam hari (kerana membacaku), maka berilah aku hak untuk memintakan syafaat baginya. Maka keduanya diberi hak untuk memintakan syafaat."
[H.R. Ahmad, Hadis Hasan]


4) Kita mungkin mampu berzikir, tapi mengumpat itu lebih banyak mendahuluinya.

Umar al-Khatthab R.A berkata, "Orang yang berzikir kepada Allah pada bulan Ramadhan akan diampuni dosa-dosanya; dan yang memohon kepada Allah pada bulan Ramadhan tidak akan kecewa.

Sehubungan dengan itu, penulis menyeru kepada diri sendiri terutamanya, dan kepada para pembaca untuk membuat satu perancangan rapi bagi menghadapi bulan Ramadhan kali ini. Moga pada Ramadhan kali ini, kita dapat menempuhinya dengan ilmu yang penuh di dada, bukannya seperti seorang pelajar yang 'malas belajar' untuk menjawab peperiksaannya.

Road To Ramadhan

  • Lazimi solat berjemaah setiap waktu di masjid dan beri'tikaf di masjid.
  • Baca al-Quran sejuzuk sehari.
  • Puasa sunat Isnin Khamis.
  • Perbanyakkan ibadah sunat seperti qiamullail, sedekah, berzikir dan sebagainya.
  • Tinggalkan perbualan atau percakapan yang sia-sia
  • Bangun awal 30 minit sebelum waktu solat Subuh.
SUMBER: http://www.iluvislam.com/tazkirah/bulan-islam/3150-road-to-ramadhan-1432h.html

DI AMBANG EXAM

Pelajar cemerlang pasti akan berasa teruja menempuhi peperiksaan. Bagi mereka peperiksaan bukanlah sumber dan punca tekanan, sebaliknya itulah saat-saat yang dinanti-nanti. Itulah saat penentu kejayaan atau kegagalan usaha mereka selama ini.

Pelajar yang cemerlang juga mempunyai perancanganbyang tuntas, meliputi persediaan sebelum peperiksaan, hampir, semasa dan sesudah peperiksaan. Semua persediaan ini diimbangi sebaiknya demi mengharap sebuah kejayaan yang boleh dicapai dengan izin Allah s.w.t juga.

Sebelum Peperiksaan
  • Mempunyai jadual belajar
  • Memupuk keyakinan dan sikap membuat persediaan awal supaya dapat mengelakkan rasa panik atau bimbang ketika menjelang peperiksaan
  • Mengulang kaji semua mata pelajaran
  • Mencari maklumat tambahan dan mengumpulkan soalan-soalan peperiksaan lepas
  • Membuat nota
  • Membuat soalan ramalan
  • Menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan juga beriadah
Hampir Peperiksaan
  • Mohon ketenangan dengan memperbanyakkan selawat dan membaca Yasin
  • Solat taubat dan mohonlah keampunan dari Allah
  • Solat hajat dan mohonlah pertolongan kepada-Nya
  • Mohon doa ayah dan ibu untuk memperoleh keredhaan mereka dan seterusnya keredhaan Allah
  • Mohon restu guru dam mintalah mereka mendoakan kejayaan kita serta mohon dihalalkan segala ilmu yang dicurahkan
  • Jaga kesihatan diri
  • Tidur dan rehat hendaklah mencukupi
Semasa Peperiksaan
  • Bawa alat tulis yang lengkap
  • Bawa dokumen seperti kad pengenalan dan slip peperiksaan
  • Datang awal
  • Tenangkan perasaan dengan beristighfar dan berdoa kepada Allah
  • Baca dan dengar arahan dengan teliti
  • Baca semua soalan
  • Fahamkan soalan
  • Jawab soalan yang mudah dahulu untuk menjimatkan masa
  • Imbangi masa menjawab soalan
  • Semak semula jawapan
Selepas Peperiksaan
  • Tawakal dan berdoa kepada Allah setelah berusaha bersungguh-sungguh
  • Jangan menyemak jawapan
  • Bersedia untuk kertas peperiksaan yang seterusnya

p/s: Sempena Ujian Pertengahan Semester Satu (UPS 1) yang akan berlangsung pada 2 Ogos hingga 4 Ogos nanti, ana mengucapkan selamat menghadapi ujian dunia yang penilainya manusia dan selamat berjaya dalam UPS kali ini. Ana memetik kata-kata Dr. Yusuf al-Qaradawi, "Kita tidak ditanya mengapa kita tidak berjaya, tetapi mengapa tidak berjihad". Selain itu, Allah s.w.t tidak bertanya mengapa kita gagal, tetapi Allah s.w.t akan bertanya mengapa kita tidak berusaha. Renung-renungkanlah sahabat. Wallahu'alam bishshawab.

TAFAKUR SEJENAK DI ALAM KUBUR

Kematian dan alam kubur tahap pertama perhentian manusia sebelum menuju Mahsyar. Dalam kubur manusia akan dapat nikmati sama ada berada dalam satu taman dari taman-taman syurga dan diperluas tempatnya seluas langit dan bumi dan dipertonton tempatnya di syurga sehingga sampai hari kiamat.

Kalau dia seorang ahli maksiat, kuburnya adalah satu lubang dari lubang-lubang neraka yang membakar dan menghimpitnya sepanjang masa dan ular bisa yang mengancamnya setiap masa.

Al-Bazar meriwayatkan Nabi bersabda: Ada tujuh amalan yang akan terus didapati pahala oleh hambanya di dalam kubur.
1. Orang yang mengajar ilmu agama
2. Orang yang mengalirkan sungai
3. Orang yang menggali telaga
4. Orang yang menanam kurma(pokok yang berbuah)
5. Orang yang membina masjid
6. Orang yang mewariskan al-Quran
7. Orang yang meninggalkan anak yang soleh yang selalu beristighfar untuknya sesudah mati