Followers

Thursday, May 19, 2011

Wanita Insan Hebat

Pelbagai persoalan tentang wanita sering dikemukakan dan diulas serta menjadi isu utama perbincangan sejak berdekad yang lalu. Malah perdebatan hal-hal yang berkaitan wanita semakin hangat diperkatakan seiring dengan perkembangan zaman. Sungguh hebat seorang wanita, nama dan statusnya juga turut tertulis di dalam al-Quran serta sering disebut dalam lipatan sejarah.
Khadijah isteri Rasulullah saw., Maryam ibu Isa as., Asiah isteri Firaun, Khaulah al-Azwar Penghayun Pedang Perang, Zainab al-Ghazali, dan ramai lagi tokoh wanita Islam yang gemilang. Termasuk juga wanita hebat yang melahirkan dan membesarkan kita.
Manusia yang mempercayai hakikat kehidupan, penciptaan alam, SUNNATULLAH, akan tahu dan faham bagaimana hakikat kejadian seorang wanita, penghidupannya, dan ke mana kesudahannya selepas kehidupan ini.
Lantaran itu, wanita seharusnya dan wajib tahu hakikat kejadian hidupnya, serta peranan dan tanggungjawabnya dalam kehidupan.

"Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus."
(At-Tin, 95:4-6)
Wanita Pada Pandangan Barat
Peradaban Barat telah melabelkan wanita sebagai jantina yang berlawanan dengan lelaki yang lebih dikenali sebagai golongan yang menggoda, menawan, dan merangsang naluri jantina yang berlawanan dengannya.
Apa yang mereka inginkan dari wanita adalah sentiasa menjadi perhiasan mata, hati dan jiwa. Mereka hanyalah golongan pemuas nafsu lelaki.
Doktrin yang ditanam oleh Barat inilah yang menjadikan wanita pada hari ini sentiasa berlumba-lumba ke arah kecantikan luaran, perebutan cinta murahan, malah sehingga sanggup menggadaikan diri sendiri.
Perlabelan yang telah ditanda hargakan itu menyebabkan maruah dan kedudukan wanita berada di tangga "TOP WORST".
Malah golongan wanita ini diberikan penghargaan dan pingat tersendiri dalam menayangkan kecantikan, kemulusan dan keghairahan masing-masing kepada suatu benda yang tidak bernyawa seperti dalam mempromosikan sesuatu barang.
Wanita dijadikan sebagai model untuk melariskan barangan jualan daripada barang-barang kegunaan wanita sehinggalah kepada pengiklanan jualan kenderaan.
Rendahnya martabat wanita seolah-olah sama nilai dengan barangan yang diperdagangkan.
Fenomena eksploitasi wanita ini semakin meningkat dengan jajaran masa yang mendorong wanita membebaskan diri dari tanggungjawab asal hakikat penciptaannya iaitu sebagai isteri, ibu, pendidik generasi pelapis, serta sayap kiri perjuangan suami.
Eksploitasi ini berlaku sehingga wanita akhirnya telah memasuki "alam" lelaki yang bertentangan dengan fitrah asal kejadiannya.
Ahli Falsafah Socrates pernah berkata :
Kewujudan wanita menjadi punca utama krisis dan kemerosotan dunia. Mereka ibarat sebatang pokok beracun. Di luar nampak cantik, tetapi sebaik sahaja seekor burung memakannya, ia mati pada masa itu juga.
(Dipetik daripada buku: Apa kata Islam Mengenai Wanita Berpolitik)
Wanita Pada Pandangan Islam
Islam telah meletakkan maruah dan kedudukan wanita pada tempat yang mulia. Sungguh bertentangan dengan nilai dan eksploitasi yang ditunjukan oleh Barat.
Wanita pada sudut dan pandangan Islam terletak pada kedudukan yang tinggi, asli lagi harmoni. Maruah dan kehormatannya ditatang dan dijaga sebaiknya ibarat emas permata dan segala perhiasan yang tidak ternilai harganya.
Allah telah mewujudkan peranan antara lelaki dan wanita yang berbeza-beza namun kedua-duanya seiring penting. Tidak berperanan salah satu maka pincanglah semua.
Dalam pembentukan sebuah institusi kekeluargaan, tidak akan sempurna tanpa kedua-dua jantina ini.  Pembentukan masyarakat dan pembinaan peradaban Islam memerlukan wanita tampil menyumbangkan tenaga dan memainkan peranan sebagai sayap kiri lelaki. Tampil memimpin golongan wanita, turut memerah otak memikirkan kelangsungan strategi dakwah, mendidik generasi baru Islam malah turut serta menghayun pedang perjuangan.
Allah tidak memandang wanita dengan pandangan yang berat sebelah. Buktinya adalah, di dalam surah Al-Ahzab ayat 35.
"Sesungguhnya lelaki dan perempuan Muslim, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, Allah menyediakan untuk mereka ampunan yang besar."
Kewujudan artikel ini sebenarnya untuk menangkis beberapa pandangan dan persepsi kuno mengenai wanita.
Sehinggalah pada hari ini, doktrin yang ditanam oleh Barat tentang wanita adalah selemah-lemah kaum masih lagi bertapak di pemikiran. Pemikiran inilah yang menyekat dan membataskan kemampuan wanita secara halus.
Hakikatnya, wanita bukanlah ingin menyaingi lelaki. Wanita juga tidak perlu menukar watak menjadi tomboy untuk membuktikan kekuatan dan ketabahannya. Wanita juga tidak perlu menjadi ganas semata-mata tidak mahu dipandang lemah.
Wanita insan tabah. Dijadikan oleh Allah swt. dengan sifat yang lemah lembut. Sesuai dengan peranannya sebagai pendidik anak-anak.
Disaat terbentuknya bayi di dalam rahim dan kemudian dikandung selama sembilan bulan 10 hari, seterusnya kelahiran bayi telah membuktikan kehebatan dan ketabahan seorang wanita. Belum ditambah dengan kesabarannya dalam proses menyusukan dan mendidik anak sehinggalah mereka dewasa dan mampu berfikir dan berdikari sendiri.
Wanita Insan Tabah
Bagaimana pula wanita yang masih di peringkat remaja? Tidak hebatkah mereka? Tidak kuatkah mereka?
Ya, jawab dengan yakin bahawa remaja wanita juga insan tabah.
Di mana ukuran ketabahan dan kekuatan itu?
Ukuran ketabahan itu adalah disaat mereka mampu melawan musuh-musuh dalam lipatan sendiri iaitu nafsu. Disaat hadirnya godaan-godaan syaitan, manusia dan seangkatannya, mereka melawan dengan keyakinan berpegang teguh pada ALLAH.
Perkembangan dunia yang pesat, pembangunan yang semakin global namun, wanita sedaya upaya membenteng diri dari terpengaruh dengan pelbagai godaan duniawi ini.
Melawan nafsu adalah jihad! Benar, inilah jihad yang perlu dipertahankan dalam diri setiap wanita. Dengan pendidikan dan tarbiyyah diri, yakinlah wanita yang dulu dipandang lemah merupakan insan hebat kerana mampu mempertahankan maruah sendiri daripada tergadai oleh godaan dunia.
Lemah Lembut atau Lembik
Kebanyakan dari kita sukar untuk membezakan antara wanita bersifat lemah lembut dengan wanita yang bersifat lembik. Kita perlu faham istilah lembik dan lemah lembut adalah satu entiti yang berbeza.
Lembik adalah sifat negatif, manakala lemah lembut merupakan sifat positif bagi wanita.
Wanita yang lembik definisikan sebagai lemah, tidak mampu untuk hidup berdikari tanpa kebergantungan pada orang lain, penakut, serta tidak berupaya menghadapi cabaran. Ia lebih bersifat seolah mengada-ngada.
Berbeza pula dengan lemah lembut, menurut Profesor Meadley, wanita yang bersifat lemah lembut adalah wanita yang mempunyai hati yang kuat, bisa melentur namun sulit untuk dipatahkan serta mampu hidup berdikari.
Lantaran perbezaan definisi inilah maka kaum wanita perlu memahami sifat yang bagaimanakah yang perlu dimiliki untuk menjadi wanita sejati, yang mampu menggoncangkan dunia.
Fitrah seorang wanita untuk memiliki sifat lemah lembut. Lemah lembut merupakan kekuatan kaum wanita. Wanita yang memiliki sifat inilah yang dimaksudkan dalam peribahasa Melayuyang berbunyi "Tangan Yang Menghayun Buaian Mampu Menggoncang Dunia".
Andalah apa yang anda fikirkan. Kuat atau lemahnya anda adalah dari apa yang anda fikirkan. Peganglah hati supaya anda tidak mudah merasa lemah. Paculah kekuatan diri dengan teguhkan kebergantungan pada Allah, kerana kekuatan hati dan kecekalan jiwa datang daripada-Nya.
Sumber

Saturday, May 14, 2011

10 Pembasuh Dosa & Penawar Hati

Hassan al-Basri r.a. berkata: "Ketika saya berkeliling di jalan-jalan kota Bashrah dan di pasarnya dengan seorang pemuda ahli ibadah, tiba-tiba saya melihat seorang tabib yang sedang duduk di atas kerusi."
Dia dikelilingi oleh laki-laki, perempuan dan anak-anak.
Di tangan mereka masing-masing terdapat gelas yang berisi air. Mereka meminta petua dan ubat untuk penyakitnya.
Kemudian, pemuda yang bersamaku maju ke depan tabib, lalu dia berkata:
"Wahai tabib, apakah kamu punya ubat yang mampu membersihkan dosa dan menyembuhkan penyakit hati? "
Kemudian, si tabib itu menjelaskan:
"Ambillah sepuluh macam ramuan:
  1. Ambillah akar pohon fakir bersama akar-akar pohon tawaddhu' (kerendahan hati),
  2. Campurkanlah padanya tumbuhan taubat,
  3. Taruhlah ke dalam bekas keredhaan,
  4. Tumbuklah dengan penumbuk qana'ah,
  5. Masukkan dalam kuali taqwa,
  6. Lalu tuangkanlah padanya air malu,
  7. Didihkanlah dengan api mahabbah,
  8. Tuangkanlah ke dalam gelas syukur,
  9. Kemudian kipaslah dengan kipas harapan,
  10. Lalu minum dengan sudu pujian.
Sesungguhnya jika kamu mengerjakan hal itu, maka akan menjadi ubat bagimu dari semua penyakit dan bencana di dunia dan di akhirat." - Dipetik daripada Kitab Nashaihul 'Ibad, Imam Nawawi.
- Artikel iluvislam.com
Sumber

Friday, May 13, 2011

Balang Mayonis Dan 2 Cawan Kopi

Di dalam sebuah kelas falsafah, seorang profesor berdiri di hadapan dewan kuliah, meja di hadapannya terdapat beberapa barangan. Tanpa sepatah perkataan, kelas bermula dengan beliau mengambil sebuah balang mayonis yang besar dan mengisinya dengan bola golf.

Dia kemudian bertanya kepada para pelajarnya, adakah balang tersebut penuh, dan pelajarnya menjawab "ya!". Profesor kemudian mengambil sekotak batu kerikil halus dan menuangkannya ke dalam balang yang telah dipenuhi bola golf tadi, lantas menggoncang
balang tersebut dengan lembut. Bebatu kerikil mengisi ruangan kosong di antara bola-bola golf. Sekali lagi dia bertanya akan pelajarnya sama ada balang tersebut telah penuh, pelajarnya lantas menjawab "ya..."


Posted Image

Tanpa menjelaskan apa-apa kepada pelajarnya, profesor tersebut lantas mengambil pula sebuah kotak yang berisi pasir dan menuangkannya ke dalam balang tersebut.
Pasir yang dituang mengisi ruangan di antara batu kelikir dan bola golf. Seperti tadi dia bertanya lagi kepada para pelajarnya sama ada balang tersebut telah penuh. Dalam keadaan yang penuh persoalan, rata-rata pelajarnya menjawab "Ya.."

Sejurus selepas itu, profesor itu kemudiannya mengeluarkan dua cawan
kopi dari bawah mejanya dan menuangkan kedua-duanya ke dalam balang yang
telah sedia ada diisi batu golf, batu kerikil dan pasir tersebut. Air kopi mengisi ruangan yang terdapat di antara pasir. Para pelajar mula ketawa dan tersenyum meihat tindakan profesor tersebut.

"Sekarang..." profesor mula bersuara apabila riuh rendah dan gelak ketawa pelajarnya berkurangan. "Saya mahu anda semua menganggap balang ini sebagai kehidupan anda...
Bola-bola golf mewakili perkara penting - Tuhan, keluarga anda, anak-anak, kesihatan anda, kawan-kawan dan semangat anda - Jika anda kehilangan segalanya dan hanya perkara penting ini yang masih anda ada, hidup anda masih penuh. Batu kerikil halus ini pula mewakili perkara-perkara lain seperti kerja anda, rumah atau kereta anda, manakala pasir pula mewakili
perkara-perkara lain, yakni perkara-perkara kecil."

"Jika anda memasukkan pasir ke dalam balang dahulu..." "... anda tidak akan mempunya ruang untuk batu kerikil dan bola golf. Ini sama juga seperti kehidupan anda. Jika anda menghabiskan masa dan tenaga untuk perkara-perkara kecil, anda tidak akan mempunyai ruang untuk perkara yang sebenarnya lebih penting untuk diri anda." "Ambil perhatian untuk perkara yang kritikal untuk kebahagiaan anda.Luangkan masa gembira untuk anak-anak. Sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan, bawa pasangan anda untuk makan malam, yang pasti, anda akan masih ada masa untuk membersihkan rumah atau urusan lain. Sila ambil
berat akan bola golf dahulu - iaitu perkara yang benar-benar penting. Tetapkan keutamaan. Perkara lain cumalah pasir..."

Salah seorang pelajarnya mengangkat tangan dan bertanya apakah pula yang diwakili oleh air kopi. Profesor tersebut tersenyum. "Saya gembira ada yang bertanya. Ianya menunjukkan bahawa tidak kira bagaimana penuh pun kehidupan anda, akan sentiasa ada ruang untuk secawan dua kopi bersama rakan-rakan..."


Moral :

Apabila kehidupan anda seakan terlalu penuh dan tampak sukar untuk diuruskan, apabila 24 jam sehari seperti tidak mencukupi, ingatlah kisah "Balang Mayonis dan 2 cawan kopi ini..."

Sumber

Sunday, May 8, 2011

Mengapa Masakan Ibu Paling Sedap?

Masakan ibu adalah masakan yang paling sedap. Begitu selalunya dikatakan orang. Realitinya pun begitu. Percayalah seorang anak akan sentiasa merindui masakan ibunya jika terpisah sekian lama. Rindu masakan ibu yang sukar ditandingi. Walaupun si anak mungkin pernah menjamah makanan yang lebih mahal, eksotik dan sebagainya tetapi manakan sama masakan ibu. Mengapa?

Kata orang, itulah penangan 'air tangan'. Memasak melalui pelbagai proses daripada menyiang, membasuh, menggaul, menguli dan lain-lain aktiviti yang kebanyakannya melibatkan sentuhan tangan secara langsung. Tangan tukang masaklah yang paling banyak menyentuh makanan. Jadi, dalam masakan ibu, air tangannyalah yang paling banyak 'terlarut' bersama bahan-bahan masakan.
Benarkah air tangan itu yang memberi kelazatan pada makanan yang dimasak. Benarkah begitu? Hakikatnya, itu bukan sebabnya. Air tangan yang dimaksudkan bukanlah 'air' dalam erti kata yang fizikal dan material. Air tangan sebenarnya ialah aliran kasih sayang, kesungguhan, keceriaan dan ketulusan hati seorang ibu yang memasak untuk anaknya. Hati itulah yang mengalirkan 'air tangan'. Jadi, air tangan pada hakikatnya ialah aliran kasih-sayang semasa ibu memasak untuk anaknya.
Pakar motivasi dan psikologi sepakat menegaskan bahawa orang yang melakukan satu kerja dengan penuh kasih-sayang, ceria dan tulus, hasil kerjanya akan berkualiti. Dorongan kerjanya bukan untuk 'mendapat' tetapi untuk 'memberi'. Seorang ibu yang memasak adalah didorong untuk 'memberi' kasih-sayang kepada anaknya, berbanding seorang 'chef' yang memasak atas dorongan ganjaran komersial.
Justeru semakin ikhlas, ceria dan kasih seseorang pada pekerjaannya dan kepada siapa dia tujukan atas kerjanya itu, maka semakin tinggilah kualiti kerja tersebut. Dan semakin kurang keikhlasan, keceriaan dan kasih seseorang semasa melakukan kerjanya, maka semakin rendahlah kualiti dan produktiviti kerja tersebut.
Realitinya, 'air tangan' bukan hanya ada pada kerja memasak. Ia ada dalam setiap jenis pekerjaan. Ia adalah aliran kasih sayang dan kecintaan yang seharusnya mengalir dalam setiap pekerja, pemimpin, guru, imam, jurutera, doktor, jururawat sehingga seorang buruh kasar. Setiap individu Muslim, wajar bekerja kerana Allah untuk berkhidmat sesama manusia. Seorang yang paling kasihkan Allah, dialah yang paling kasihkan manusia dan orang seperti inilah yang paling tinggi kualiti kerjanya.
Falsafah di sebalik 'air tangan' inilah saya kira dapat merealisasikan dorongan Rasulullah saw agar setiap kita memperelokkan kerja menerusi sabdanya:
"Bahawasanya Allah s.w.t suka apabila seseorang darikamu membuat sesuatu kerja, dia memperelokkan kerjanya."
- Artikel iluvislam.com

Sumber

Wednesday, May 4, 2011

Pengurusan Badar

Perkara yang penting adalah sistem pengurusan dari peringkat pimpinan
(qiyadi) hinggalah peringkat tenaga kerja (jundi).
Kata Saidina Ali,
"Keadilan yang tidak bersistem (tidak berstrategi) akan ditundukkan
oleh kebathilan yang bersistem" :(

Betapa pentingnya perancangan sehinggakan ia menjadi faktor penentu keberkesanan
organisasi. Perancangan tersebut mestilah dilakukan seawal tempoh pimpinan, dengan melibatkan
visi dan misi organisasi, takwim bulanan, gerak kerja setiap unit, program2 yang akan dilakukan,
pelan tindakan dan lain2 lagi.

Namun perkara yang perlu dititik beratkan dalam merancang gerak kerja organisasi sepanjang
tempoh pimpinan adalah kebajikan para pimpinan dan ahli. Jangan kerana nak organisasi aktif
atau nampak hebat, ahli dan pimpinan tergadai. Kebajikan ahli dan pimpinan dari segi akademiknya,
peruntukan masa untuknya terlibat dalam organisasi, kebersediaannya bergerak dalam organisasi,
ukhwahnya bersama ahli lain,dan lain2. Jika organisasi berjaya menjaga kebajikan ahlinya,
insya Allah ahlinya akan terikat dengan organisasi untuk terus memberi komitmen dan kerjasama
dalam organisasi. Dengan kebajikan ahlinya terjaga, insya Allah organisasi dapat bergerak aktif
dalam mencapai visinya.

Sebenarnya, nak merancang pun ambil masa yang lama. Perancangan yang baik ialah yang sistematik
dan mengambil kira semua aspek, juga mempunyai back-up plan atau rancangan alternatif sebagai
langkah kedua.

Tapi, jangan pula hanya merancang sahaja, gerak kerja bagaimana? Jangan rancangan hebat,
kerjanya ciput je. <_<

Wallahu'alam.

Posted by : lan_daie
Source     : Komuniti.Iluvislam.com

Monday, May 2, 2011

Apa Ada Pada Hati

Apa Ada Pada Hati

Ramai di antara kita gagal mengawal diri. Bertindak mengikut hati tanpa di selangi dengan pertimbangan akal. Menjadikan nafsu serakah sebagai pembimbing.



Sabda Rasulullah SAW:

" Sesungguhnya di dalam diri manusia itu terdapat seketul daging, jika sekiranya baik daging itu, maka baiklah seluruh manusia itu, Jika sekiranya buruk daging itu, maka buruklah seluruh diri manusia itu. Ketahuilah bahawa daging itu ialah hati"  (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di antara proses latihan atau proses pengubatan dan pemulihan hati yang di sarankan oleh ulama ialah melatih diri untuk sentiasa menyukai kepada kebaikan. Ini dapat membimbing mata hati kita ke arah rasa takwa dan menjauhkan diri dari rasa kemahuan maksiat.

" Apabila seseorang itu melakukan maksiat, hatinya akan ditimpa titik hitam"  (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)



Hati yang baik akan bersih dari segala hal-hal kekotoran. Hati yang bersih akan di perolehi jika menjauhi perkara-perkara mazmumah dan juga larangan Allah. Sama-sama kita jaga hati kita yang tersedia dengan segala kemaksiatan dan kemungkaran. Semoga Allah melindungi dan mempermudahkan niat suci kita ini.

Mari sama-sama bersihkan hati :))