Followers

Saturday, November 26, 2011

Tuntutan Hijrah

Hijrah wajib di awal Islam. Namun ia berubah selepas itu: ‘Tiada hijrah selepas pembukaan Mekah tetapi jihad dan niat (yang benar)’ , ‘Jihad berterusan hingga ke hari Qiamat’

Perpindahan yang mesti berlaku di kalangan orang Islam ialah berhijrah dari perkara yang dilarang Allah ‘Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan perkara yang dilarang Allah’. Bagi seorang mukmin, falsafah hidupnya ialah hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini dan hari-hari muka lebih baik dari hari sebelumnya.

Berpindahnya Nabi SAW dari Mekah ke Madinah ialah bagi menegakkan Islam dalam bentuk syumul-peribadi, keluarga, masyarakat dan negara. Ia bukan hijrah dari satu tempat ke satu tempat sahaja. Hijrah membawa misi dan visi yang sangat hebat.

Sikap umat Islam mesti positif dan pro-aktif. Ia ditunjuk oleh Nabi SAW dalam persitiwa hijrah ini. Apabila mengetahui orang Musyrikin mahu membunuhnya, terus Baginda bertindak menemui Abu Bakar dan menyiapkan perkara yang sepatutnya.

Nabi SAW sentiasa memandang masa depan Islam yang cemerlang. Dalam apa suasana sekalipun, Baginda tetap optimis dan positif terhadap Islam. Inilah sifat seorang pemimpin yang mesti diikuti oleh pengikutnya.

Dalam persitiwa hijrah, ketika hanya Nabi dan Abu Bakar berada di dalam Gua Thur-tiada PBB, tiada OIC, tiada negara dan bala tentera islam yang boleh membantu, Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar ‘Apa sangkaan kamu dengan 2 orang, Allah yang ketiga’, merupakan suatu tarbiyyah, keyakinan dan keimanan yang jitu diletakkan dalam dada Abu Bakar. Ketika Suraqah yang mengejar Nabi dari belakang mulai takut dengan kaki kudanya yang sentiasa tenggelam dalam pasir itu meminta keamanan dari Nabi SAW, Baginda berjanji kepada Suraqah untuk diberikan gelang Raja Kisra. Satu janji yang melihat masa depan yang gemilang buat Islam walaupun negara Islam itu belum kelihatan di depan mata.

Kita hanya tahu menyebut perkataan hijrah, tetapi tahukah kita dari mana,bagaimana perkiraan hijrah itu bermula dan diambil?

Ketika Khalifah Saidina Umar al-Khattab mengira-ngira untuk membuat satu tanda jelas bagi orang Islam tentang kalendar, banyak peristiwa penting yang boleh dijadikan batutanda itu. Peristiwa kelahiran Nabi SAW, Isra’ Mikraj, perpindahan dari Makkah ke Madinah, pelbagai peperangan yang berlaku sepanjang sejarah semuanya penting. Namun dari semua peristiwa penting itu, akhirnya Umar al-Khattab memilih peristiwa hijrah. Mengapa hijrah? Tentunya ada perkara istimewa dan kelainan berbanding dengan peristiwa-peristiwa lain.

Sebelum hijrah, Nabi SAW adalah Nabi. Demikian juga selepas hijrah. Tetapi selepas hijrah, Nabi bukan sahaja kekal sebagai Nabi, pangkat yang diberi oleh Allah tetapi juga menjadi ketua sebuah negara.

Walaupun Madinah kecil sahaja di waktu itu-kecil dari segi geografi, kecil dari segi bilangan penduduk dan kecil dari segi kuasa berbanding kuasa-kuasa besar yang sudah sedia ada ketika itu-Parsi dan Rom, namun Madinah menepati ciri-ciri sebuah negara menurut sains politiknya. Ada tanah dan bumi, ada pemimpin, ada rakyat, ada perlembagaan dan ciri-ciri lain.

Hijrah menjadi batas sempadan di antara tempoh Mekah dan tempoh Madinah. Ayat-ayat al-Quran berbeza dari segi uslub dan perintah-perintahnya. Justeru, peristiwa hijrah ini sangat penting untuk dihayati oleh umat Islam agar maksud sebenar dari hijrah ini tercapai.

‘Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul...’

Salam Tahun Baru Islam 1433H

Tuesday, November 8, 2011

Hajinya Di Depan Pintu

Salam aidiladha diucapkan buat antum dan antunna semua. Sempena hari raya aidiladha ini, ana akan membawa suatu kisah ulama dan orang soleh di zaman salafus soleh. Sama-samalah kita menghayatinya.

Abdullah bin Mubarak turut mengerjakan haji pada suatu musim haji. Dia telah tertidur di Masjidil Haram lalu bermimpi. Dalam mimpinya itu, telah turun dua malaikat. Mereka mengisahkan bahawa pada tahun itu seramai enam ratus ribu orang telah mengerjakan haji, tetapi tidak seorang pun diterima haji mereka.

Namun ada seorang lelaki yang tidak mengerjakan haji tetapi disebabkan berkatnya, menyebabkan semua orang yang mengerjakan haji itu diterima hajinya. Lelaki itu bernama Muwaffaq, seorang tukang kasut yang tinggal di Damsyik.

Setelah terjaga dari tidurnya, Abdullah lalu pergi ke Damsyik untuk mencari lelaki itu. Setelah bertemu dan memperkenalkan dirinya, Abdullah lalu bertanya apakah amalan yang telah dilakukannya sehingga dia mendapat darjat yang begitu tinggi.

Muwaffaq pun menceritakan bahawa dia telah mengumpulkan wang hasil dari pekerjaannya. Jadi dia berhasrat untuk menunaikan haji. Suatu hari, isterinya yang sedang hanil telah terhidu bau masakan jirannya. Dia teramat ingin untuk merasai masakan tersebut.

Muwaffaq pun pergi ke rumah jirannya dan memberi tahu keinginan isterinya itu. Jirannya dengan sedih memberitahu rahsia yang sebenarnya. Dia bersama anak-anaknya yang yatim sudah tiga hari tidak makan. Jadi dia pun keluar mencari rezeki. Akhirnya dia telah bertemu dengan bangkai himar. Dia lantas mengambil sebahagian dagingnya lalu membawa pulang ke rumah untuk dimasak.

Jelas wanita itu lagi, makanan itu halal bagi mereka tetapi haram buat Muwaffaq. Muwaffaq berasa kasihan mendengar penjelasan jirannya itu. Dia terus pulang ke rumah dan mengambil wang yang dikumpulnya selama ini. Wang itu lalu diberikan kepada jirannya sebagai perbelanjaan buat anak-anaknya yang yatim.

Sebab itulah dia tidak dapat menunaikan haji pada tahun itu. Disebabkan keikhlasan membantu jirannya, Allah SWT mengurniakan ganjaran pahala haji kepadanya. Muwaffaq menyatakan lagi bahawa sebenarnya hajinya berada di depan pintu rumahnya.