Followers

Thursday, April 21, 2011

Muslimin Bantu Kami Mencari Erti Solehah


Gerak langkahmu memikat hati,                                                                                                                                              
Lirik senyummu manis sekali,
Namun ini aku menyedari,
Ia adalah ranjau berduri.
Senyumanmu itu racun berbisa,
Mengugat naluri menggoda jiwa,
Walau rupamu amat menawan,
Namun ku tetap pilih yang beriman.

Ranjau Menawan - NowSeeHeart

Dahulu muslimat mungkin merupakan cabaran yang besar yang dapat meruntuhkan keimanan seorang muslimin. Namun hari ini, ketahuilah wahai muslimin, anda merupakan cabaran yang besar bagi muslimat dalam memagari diri di dalam rumah 'solehah'. Saban hari ada sahaja penjaja-penjaja cinta yang melalui halaman rumah 'solehah' ini, yang membuatkan kadang-kadang, muslimah ini teruja untuk melihat 'apakah yang dijual mereka?'.

Ketahuilah wahai muslimin,
Kami memagari diri kami,
Agar kamu (wahai muslimin) dapat istiqamah dalam perjuanganmu,
Kami mengeraskan kelembutan kami,
Agar kamu mampu fokus dalam gerak langkahmu,
Kami lari dari fitrah azali kami,
Agar tidak terganggu imanmu,
Namun mengapa kamu masih mengusik hati serta keimanan kami?
Sedang kita perlu saling bantu-membantu dalam menjaga iman masing-masing.
Agar gerak kerja kita dalam perjuangan ini tidak terganggu. Sekiranya kamu sering menganggu iman kami, maka kelemahan kami yang terserlah pula akan menganggu imanmu. Dan akhirnya kita bersama-sama jatuh ke tempat yang binasa. Na'uzubilahi min zalik!

Apabila kamu melihat ada muslimat yang solehah, atau yang sedang mengadaptasi sifat 'solehah' dalam diri. Jangan kamu ganggu mereka dengan kata-kata manismu, jangan kamu ganggu iman mereka dengan menguji sejauh mana tahap 'solehah' mereka. Apakah kamu tegar kehilangan bunga-bunga 'solehah' yang bakal mengindahkan dunia Islam ini?.

Kami sendiri pelik, apabila ada muslimin yang mengirimkan article tentang 'ikhtilat', sebagai peringatan buat muslimat. Tetapi kemudiannya muslimin itu sendiri menghantar mesej,
'Hati-hati ye balik, kalau terjatuh,bangun sendiri, hehe'.

Atau mungkin apa sahaja perbuatan atau perkataan yang boleh mengundang dosa. Jangan menipu diri sendiri muslimin hanya dengan bertopengkan ilmu kepalsuan.
"Owh maksud saya tu, jaga diri. Awak jangan su'uzhon",
"Saya tak nak lah rasa ikhtilat ni  terlalu formal kita biasa-biasa je "

Apa sebenarnya yang kamu (wahai muslimin) cari?
Kamu mahu kami menjadi muslimah solehah, tapi kamu tidak membantu kami ke jalan itu,
Malah kamu sering menganggu 'perhatian' kami.
Atau mungkin kamu ingin kami jadi muslimah yang hipokrit? Di depan semua orang, ikhtilat, aurat, ibadah semua dijaga,
Tetapi di belakang orang,kami hanya memiliki abu-abu iman yang ringan, yang tidak berguna.

Ketahulah wahai muslimin,
Kita memerlukan kekuatan satu sama lain,
Dalam memangkin perjuangan ini,
Jika salah satu dari kita lemah dalam mempertahankan iman,
Ia akan memberi kesan kepada keduanya.

ketahuilah wahai muslimin
kami ingin menjadi isteri yang solehah, juga ibu yang dapat menjadi qudwatun hasanah,
Bagi melahirkan mujahid dan mujahidah,
kami memerlukan seorang suami yang soleh sebagai ketua keluarga,
Jadikan kami ini selayaknya untuk kamu,
Dan kamu selayaknya untuk kami.

Muslimat- perempuan
Muslimin- lelaki
Ikhtilat - perhubungan lelaki dan perempuan
su'uzhon- bersangka buruk

Sumber:Iluvislam.com

Saturday, April 16, 2011

Lelaki Yang Baik Ibarat Petani Yang Baik

Lelaki Yang Baik Ibarat Petani Yang Baik

Lelaki ibarat petani.  Dan perempuan ibarat tanah.

Petani Baik, Tanah Pun Baik

Petani yang baik apabila bertemu dengan tanah yang subur tentunya akan melahirkan hasil tanaman yang bermutu tinggi.  Kerana benih yang ditanam oleh petani yang baik bukan sahaja dibiarkan ia tumbuh begitu sahaja, malah akan dijaga dan diteliti tumbesarannya dengan tekun sekali.
Dengan ketelitian dan kesungguhan si petani yang baik tadi, tanah yang subur juga tentunya tidak mahu mengecewakan si petani dengan sedaya upaya mengeluarkan hasil yang terbaik dari isi perut bumi untuk dituai si petani.  SubhanALLAH, akhirnya tumbuh melatalah rezeki kurniaan ALLAH di muka bumi ini dengan rezeki yang baik-baik.

Petani Tidak Baik, Tetapi Tanah Baik

Bayangkan pula apabila petani yang tidak baik bertemu dengan tanah yang subur.  Dengan sifat kejahilan si petani, ditambah dengan sifat kemalasan, cuai, leka dan mengabaikan tanah yang subur itu, akan mengakibatkan tanah yang subur itu mengeluarkan hasil yang tidak bermutu tinggi.  Hasil tanaman yang dikeluarkan oleh tanah yang subur itu akan mudah rosak dan keadaan rupa bentuk tanah yang subur itu menjadi tidak teratur dan ditumbuhi semak.
Lebih malang lagi jika si petani yang tidak baik itu bukan sahaja tidak menjaga dan memanfaatkan tanah yang subur itu, malah merosakkan pula tanah tersebut.  Akhirnya, tentulah tanah yang pada asalnya subur itu bertukar menjadi tanah yang rosak.  Sayang sekali si tanah tidak dapat mengeluarkan produk terbaik dek kerana perbuatan si petani yang tidak baik itu.

Petani Baik, Tetapi Tanah Tidak Baik

Bayangkan pula apabila si petaninya bagus dan baik, tetapi tanah yang ditemuinya pula tidak subur.  Dalam kes sebegini, tentulah tidak sama seperti si petani yang baik bertemu dengan tanah yang subur.  Si petani yang baik tentunya akan berusaha segigih mungkin untuk menjadikan tanah yang pada asalnya tidak subur menjadi lebih subur.  Bukan mudah.
Mujahadahnya lebih tinggi dan pengorbanannya juga lebih besar.  Dicuba bermacam-macam kaedah, trial & error, dirujuk sana sini untuk mendapatkan nasihat pakar dan lain-lain lagi usaha bagi menjayakan usaha murninya itu.  Bukan calang-calang petani yang dapat mengusahakan tanah yang tidak subur, bahkan menghasilkan hasil yang baik.  Berkat usaha yang yang tidak mengenal jemu dan kesabaran yang tinggi, maka insyaALLAH akan berjaya juga.  Jika gagal juga, beralih sahajalah ke tanah yang lain yang lebih berprospek tinggi.

Petani Yang Tidak Baik, Tanah Juga Tidak Baik

Oh, yang ini saya rasa tidak perlulah diceritakan.  Fikirlah sendiri…

Lelaki Yang Baik Bisa Merubah Keadaan

Jika dilihat beberapa kes di atas, hampir dapat kita simpulkan bahawa peranan dan sikap si petani menjadi faktor yang sangat penting untuk berjayanya sesuatu usaha pertanian.
Di awal tulisan telah saya umpamakan si petani sebagai seorang lelaki dan tanah sebagai seorang perempuan.  Cuba fikirkan perumpamaan tersebut.
Ya, lelaki memainkan peranan yang sangat penting di dalam hubungan rumahtangga. Si lelaki atau si suami mesti mempunyai sifat positif yang banyak untuk dia mengemudikan rumahtangganya menjadi rumahtangga yang berjaya.
Lebih mudah jika si isteri turut sama mempunyai sifat positif yang banyak, kerana ini akan memudahkan pelayaran rumahtangga yang sejahtera.  Malah akan menghasilkan zuriat-zuriat yang baik daripada mereka berdua.
Sekiranya si lelaki tidak mempunyai sifat positif yang banyak, malah ditenggelami pula dek sifat-sifat negatif, tentulah rumahtangga akan mudah goyang.  Kita lihat banyak kes-kes isteri yang setiap hari yang makan hati dan berulamkan jantung akibat sikap lelaki yang zalim.  Kadang-kadang yang sedihnya, si isteri punyalah baik dan sabar, tetapi terpaksa berhadapan dengan karenah si suami yang bermacam-macam itu.
Jika dilihat senario si suami  yang baik tetapi si isteri pula buat perangai, di sini memerlukan kepandaian si suami untuk membentuk dan mendidik isteri itu menjadi baik.  Bukan mudah.  Tak ramai yang sanggup.  Si suami yang penyabar dan hikmah sahaja yang mampu menempuhinya.
Jadi, ingin saya seru:
“Wahai diri ini dan lelaki semuanya, tidak kira samada dewasa atau masih remaja, berusahalah menjadi lelaki yang baik.  Bukankah ALLAH telah mengiktiraf ‘Arrijalu qowwamuna `ala nnisa’?  Pengiktirafan ini bukan untuk diegokan atau didabikkan dada, tetapi ia menuntut kita semua, lelaki-lelaki agar lebih bersedia dan trampil untuk menjadi pemimpin dan menjadi pembela kepada golongan wanita.  Janganlah kita menjadi perosak mereka, malah mengambil kesempatan mereka pula”

Air, Cahaya, Keredhaan ALLAH Dan RahmatNYA

Jika petani diibaratkan lelaki atau suami.  Tanah diibaratkan perempuan atau isteri.  Air dan cahaya yang menyinari tanaman-tanaman pula boleh kita ibaratkan sebagai redha dan rahmat ALLAH.
Sebagaimana tanaman tidak boleh subur tanpa air dan cahaya, walaupun petaninya bagus dan tanahnya subur, begitulah juga perlunya redho dan rahmat ALLAH di dalam sebuah rumahtangga.  Redho dan rahmat ALLAH sangat-sangat dihajatkan oleh kita sebagai manusia dalam semua perkara, termasuklah dalam hal rumahtangga.
  1. Jadilah lelaki dan suami yang baik.
  2. Jadilah wanita dan isteri yang baik.
  3. Dan pohonlah redho serta rahmat ALLAH.
Semoga rumahtangga yang kita bina sejahtera selama-lamanya, amin…
- www.muzir.wordpress.com

Thursday, April 7, 2011

Kisah Nabi Idris

Salam..
Eloklah antum semua baca buat muhasabah diri..


Sakaratul Maut, bersiap sediakah kita untuk menghadapinya ?

"Jika sekiranya kamu dapat melihat malaikat-malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka serta berkata, "Rasakanlah olehmu siksa neraka yang membakar."(nescaya kamu akan merasa sangat ngeri) (Surah Al-Anfal {8} : 50).

"Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat di waktu orang-orang yang zalim
(berada) dalam tekanan-tekanan sakaratul maut, sedang para malaikat
memukul dengan tangannya (sambil berkata), "Keluarkanlah nyawamu !"

Pada hari ini kamu dibalas dengan siksaan yang sangat menghinakan, kerana
kamu selalu mengatakan terhadap Allah (perkataan) yang tidak benar dan
kerana kamu selalu menyombongkan diri terhadap ayat-ayat-Nya" . (Qs. Al- An'am : 93).

Cara Malaikat Izrail mencabut nyawa bergantung dari amal perbuatan orang yang bersangkutan, apabila orang yang akan meninggal dunia itu derhaka kepada Allah, maka Malaikat Izrail mencabut nyawa secara kasar.

Sebaliknya, apabila terhadap orang yang soleh, cara mencabutnya adalah dengan lemah lembut dan dengan hati-hati. Namun demikian peristiwa terpisahnya nyawa dengan raga tetap
teramat menyakitkan.

"Sakitnya sakaratul maut itu, kira-kira tiga ratus kali sakitnya dipukul pedang".
(H.R. Ibnu Abu Dunya).

Di dalam kisah Nabi Idris a.s, beliau adalah seorang ahli ibadah, kuat mengerjakan
solat sampai puluhan raka'at dalam sehari semalam dan selalu berzikir di dalam
kesibukannya sehari-hari.

Catatan amal Nabi Idris a.s yang sedemikian banyak, setiap malam naik ke langit. Hal
itulah yang sangat menarik perhatian Malaikat Maut, Izrail. Maka bermohonlah ia
kepada Allah SWT agar diperkenankan mengunjungi Nabi Idris a.s. di dunia.
Allah SWT mengabulkan permohonan Malaikat Izrail, maka turunlah ia ke dunia dengan
menjelma sebagai seorang lelaki tampan, dan bertamu ke rumah Nabi Idris.

"Assalamu'alaikum, yaa Nabi Allah". Malaikat Izrail memberi salam.

"Wa'alaikum salam wa rahmatullah" . Jawab Nabi Idris a.s. Beliau sama sekali tidak mengetahui bahawa lelaki yang bertamu ke rumahnya itu adalah Malaikat Izrail.

Seperti tamu yang lain, Nabi Idris a.s. melayani Malaikat Izrail, dan ketika tiba
waktu berbuka puasa, Nabi Idris a.s. mengajaknya makan bersama, namun ditolak oleh
Malaikat Izrail. Selesai berbuka puasa, seperti biasanya, Nabi Idris a.s mengkhususkan waktunya "menghadap" Allah sampai keesokan harinya. Semua itu tidak lepas dari perhatian Malaikat Izrail. Juga ketika Nabi Idris terus-menerus berzikir dalam melakukan kesibukan sehari-harinya, dan hanya berbicara yang baik-baik saja.

Pada suatu hari yang cerah, Nabi Idris a.s mengajak jalan-jalan "tamunya" itu ke sebuah perkebunan di mana pohon-pohonnya sedang berbuah, ranum dan menggiurkan.

"Izinkanlah saya memetik buah-buahan ini untuk kita" pinta Malaikat Izrail
untuk menguji Nabi Idris a.s.

"Subhanallah !" kata Nabi Idris a.s.

"Kenapa ?" Malaikat Izrail pura-pura terkejut.

"Buah-buahan ini bukan milik kita". Ungkap Nabi Idris a.s. Kemudian, beliau
berkata:"Semalam anda menolak makanan yang halal, kini anda menginginkan makanan
yang haram".

Malaikat Izrail tidak menjawab. Nabi Idris a.s perhatikan wajah tamunya yang tidak merasa bersalah. Diam-diam beliau jadi penasaran tentang tamu yang belum dikenalnya itu.
Siapakah gerangan ? pikir Nabi Idris a.s.

"Siapakah engkau sebenarnya ?" tanya Nabi Idris a.s.

"Aku Malaikat Izrail". Jawab Malaikat Izrail.

Nabi Idris a.s terkejut, hampir tidak percaya, seketika tubuhnya bergetar tidak berdaya.

"Apakah kedatanganmu untuk mencabut nyawaku ?" selidik Nabi Idris a.s serius.

"Tidak".Senyum Malaikat Izrail penuh hormat.
"Atas izin Allah, aku sekadar berziarah kepadamu". Jawab Malaikat Izrail.

Nabi Idris mengangguk, beberapa lama kemudian beliau hanya terdiam.

"Aku punya keinginan kepadamu". Tutur Nabi Idris a.s

"Apa itu ? Katakanlah !". Jawab Malaikat Izrail.

"Kumohon engkau bersedia mencabut nyawaku sekarang. Lalu mintalah kepada Allah SWT untuk menghidupkanku kembali agar bertambah rasa takutku kepada-Nya dan meningkatkan amal ibadahku". Pinta Nabi Idris a.s.

"Tanpa izin Allah, aku tak dapat melakukannya" , tolak Malaikat Izrail.

Pada saat itu pula Allah SWT memerintahkan Malaikat Izrail agar mengabulkan permintaan Nabi Idris a.s. Dengan izin Allah, Malaikat Izrail segera mencabut nyawa Nabi Idris a.s. sesudah itu beliau wafat.

Malaikat Izrail menangis, memohonlah ia kepada Allah SWT agar menghidupkan Nabi Idris a.s. kembali. Allah mengabulkan permohonannya. Setelah dikabulkan Allah Nabi Idris a.s. hidup kembali.

"Bagaimanakah rasa mati itu, sahabatku ?" Tanya Malaikat Izrail.

"Seribu kali lebih sakit dari binatang hidup dikuliti". Jawab Nabi Idris a.s.

"Caraku yang lemah lembut itu, baru kulakukan terhadapmu". Kata Malaikat Izrail.


MasyaAllah, lemah-lembutnya Malaikat Maut (Izrail) itu terhadap Nabi Idris a.s.
Bagaimanakah jika sakaratul maut itu datang kepada kita ?
Siapkah kita untuk menghadapinya ?


"Sebarkanlah walau hanya satu ayat"

Monday, April 4, 2011

Abu Nawas dan Tukang Fitnah

Suatu hari seseorang yang telah menyebarkan fitnah dan memburuk-burukkan nama Abu Nawas datang kepadanya dan mengatakan menyesal atas apa yang sudah terjadi.

"Aku tidak akanmengulangi lagi.Katakan apa yang harus aku lakukan untuk menebus kesalahanku,"kata orang itu.

"Tidak ada," kata Abu Nawas.

"Pasti ada yang boleh aku lakukan," paksa orang itu.

"Jika kamu memaksa, maka sekarang bawakan aku sebuah bantal bulu."

Orang itu segera pergi dan kembali membawa bantal bulu.

"Sekarang berdirilah di tengah jalan dan bukalah bantal itu," perintah Abu Nawas.

Orang itu melakukan apa yang diperintahkan. Bulu-bulu itu keluar dari bantal dan ditiup angin.

"Sekarang apa lagi?"

"Kumpulkan bulu-buku itu dan masukkan semula ke dalam bantal."

"Tetapi itu tidak mungkin, bulu-bulu itu sudah terbang jauh."

"Demikian juga dengan apa yang telah engkau lakukan padaku. Beritanya sudah tersebar luas dan sekarang engkau tidak dapat membersihkan namaku yang telah tercemar," kata Abu Nawas

Tajuk:Tanyalah Dia Abu Nawas
Penyusun: Abdullah Ahmad
Syarikat: MustRead Sdn. Bhd

Saturday, April 2, 2011

Kebebasan Asasi (1948 > 1956/57 > 1400 tahun dahulu)

Kepentingan Kebebasan Asasi

Perkara 5:Kebebasan Diri
Perkara 5 Perlembagaan Malaysia mempunyai kepetingannya sendiri. Ia bertujuan membela hak seseorang warga negara dari dicabuli seperti hak mereka untuk mendapat perlindungan keselamatan, mengetahui pertuduhan terhadap diri dan hak untuk membela diri. Ini amat penting untuk mengelakkan orang yang tidak bersalah dari dituduh atas suatu kesalahan yang bukan mereka lakukan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga ada menyata dalam Deklarasi Hak Asasi Kemanusian pada 1948 sebagaimana berikut.

Fasal 8:
Setiap orang berhak mendapat keadilan yang nyata daripada pengadilan-pengadilan kebangsaan yang berhak terhadap perbuatan yang melanggar hak asal yang dijamin baginya dalam perlembagaan negara atau dalam undang-undang.
 
Fasal 9:
Tiada seorang jua boleh dikenakan hukuman undang-undang, tahanan, atau pembuangan secara sewenang-wenang.
 
Fasal 10:
Setiap orang berhak dalam persamaan yang sempurna untuk diperiksa secara adil dan terbuka oleh pengadilan yang bebas dan tidak memihak, baik pun untuk menetapkan hak dan kewajipan-kewajipan, ataupun dalan tiap-tiap kes-kes atau tuduhan-tuduhan jenayah terhadapnya.

Sebagai agama rasmi, Islam juga mensyariatkan agar seseorang itu mendapat perlindungan sewajarnya sebagaimana firman Allah SWT 1400 tahun dahulu melalui wahyu kepada Rasulullah SAW:

Fasal8:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (AnNisaa` 4:58)
 
Fasal 9:
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."
(AlHujerat 49:6)
 
Fasal 10:
" Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu; tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah kamu kembali semuanya, maka Dia akan menerangkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.Hai orang-orang yang beriman, apabila salah seorang kamu menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu, atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan dimuka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian. Kamu tahan kedua saksi itu sesudah sembahyang (untuk bersumpah), lalu mereka keduanya bersumpah dengan nama Allah, jika kamu ragu-ragu: "(Demi Allah) kami tidak akan membeli dengan sumpah ini harga yang sedikit (untuk kepentingan seseorang), walaupun dia karib kerabat, dan tidak (pula) kami menyembunyikan persaksian Allah; sesungguhnya kami kalau demikian tentulah termasuk orang-orang yang berdosa."Jika diketahui bahwa kedua (saksi itu) membuat dosa, maka dua orang yang lain di antara ahli waris yang berhak yang lebih dekat kepada orang yang meninggal (memajukan tuntutan) untuk menggantikannya, lalu keduanya bersumpah dengan nama Allah: "Sesungguhnya persaksian kami labih layak diterima daripada persaksian kedua saksi itu, dan kami tidak melanggar batas, sesungguhnya kami kalau demikian tentulah termasuk orang yang menganiaya diri sendiri." Itu lebih dekat untuk (menjadikan para saksi) mengemukakan persaksiannya menurut apa yang sebenarnya, dan (lebih dekat untuk menjadikan mereka) merasa takut akan dikembalikan sumpahnya (kepada ahli waris) sesudah mereka bersumpah. Dan bertakwalah kepada Allah dan dengarkanlah (perintah-Nya). Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik "(AlMaidah 5:105-108)
 
Dan timbul persoalan terhadap kebebasan asasi terhadap umat Islam sedunia. Adakah mereka mendapat hak mereka untuk diadili secara adil? Lihatlah janji PBB pada fasal 9 itu dan lihatlah saudaramu di Palestin. Sekadar renungan bersama~